ALOR SETAR:Fenomena air pasang besar yang berlaku sejak semalam menyebabkan sebahagian kawasan rendah terutama berhampiran laut di Kuala Kedah dinaiki air, hari ini.

Tinjauan di sekitar pekan itu mendapati, kawasan Terminal Feri Kuala Kedah dan pelantar ikan di Kampung Seberang Kota dinaiki air sedalam antara 0.3 hingga satu meter.

Peniaga restoran Kak Yang Gulai Ikan Temenung, Samihah Fitriah Mad Nor, 28, berkata air mula naik sehingga paras buku lali kira-kira jam 11.30 pagi dengan begitu pantas.

"Nasib baik barangan serta makanan sempat dialihkan ke tempat yang tinggi bagi mengelak ditenggelami air.

"Bila keadaan macam ini, pelanggan berkurangan sebab air naik. Tapi ada juga pelanggan yang tidak kisah dan tetap datang makan di sini," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu bagi pelanggan, Norazilah Mohd Said, 38, pada mulanya dia agak terkejut dan takut kerana tidak sampai lima minit air sudah naik sehingga mencecah paras buku lali.

"Saya boleh nampak air mula naik, takut juga sebab ini kali pertama. Tapi seronok juga, pengalaman baharu macam ini," katanya yang terus menikmati makan tengah hari di restoran berkenaan.

Seorang lagi pelanggan, Mohd Aqmal Firdaus Raziudin, berkata dia yang singgah untuk makan tengah hari juga tidak meninggalkan restoran berkenaan apabila orang lain kelihatan tenang seperti tiada perkara serius berlaku.

"Saya tak takut, cuma fikirkan pasal kasut basah sahaja. Selain itu, terfikir untuk mengelak daripada jalan dekat dengan longkang kerana takut terjatuh," katanya.

Selain banjir kilat di kawasan rendah berhampiran laut, fenomena itu turut menyebabkan ombak setinggi hampir tiga meter.

Fenomena air pasang besar mula berlaku pada hari ini dan dijangka berlarutan sehingga 20 Oktober disebabkan perubahan Monsun Timur Laut yang turut membawa hujan lebat pada Oktober hingga November.

Selain banjir kilat di kawasan rendah berhampiran laut, fenomena itu turut menyebabkan ombak setinggi hampir tiga meter.

Kawasan yang menerima kesan termasuk di persisir pantai di Kuala Kedah, Kuala Muda dan Langkawi yang boleh mengancam keselamatan nelayan laut dalam dan persisir pantai.