KUALA LUMPUR: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) komited untuk mencapai sasaran mengurangkan kadar Air Tidak Terhasil (Non-Revenue Water, NRW) ke tahap 23.5 peratus menjelang 2030.

Setakat ini, mereka berjaya menurunkan kadar NRW sebanyak 5.5 peratus, iaitu daripada 33.3 peratus pada 2017 kepada 27.8 peratus pada 2022.

Kejayaan itu adalah hasil pelaksanaan pengurusan NRW secara ‘in-house’ setelah kerajaan negeri Selangor mengambil alih keseluruhan pengurusan bekalan air terawat untuk pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada 2015.

“Antara usaha yang dibuat adalah dengan pengesanan kebocoran aktif di paip utama dan retikulasi, pembentukan zon pemeteran daerah, pengurusan tekanan air, sistem aduan dan pengagihan kerja pembaikan yang efisien, penggunaan meter pintar ultrasonik dan meter elektromagnetik, juga penggantian aset seperti paip-paip air lama.

“Selain itu, kami mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar-pakar utiliti bertaraf dunia untuk terus mempelajari amalan terbaik serta menjalankan usaha ‘benchmarking’ supaya operasi dan perkhidmatan Air Selangor setanding dengan utiliti-utiliti lain di luar negara terutamanya negara-negara maju,” kata Pemangku Pengarah merangkap Ketua Operasi dan Ketua Jabatan Pengagihan Air Selangor, Kelvin Siew.

Pada masa sama, pihaknya juga amat mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk melaporkan sebarang kebocoran melalui pusat panggilan atau aplikasi Air Selangor.

Di bawah Program Pengurangan NRW oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), geran sepadan diberikan kepada operator-operator air yang berjaya mencapai sasaran penurunan kadar NRW tahunan yang ditetapkan.

Dengan pendekatan ini, kerajaan Persekutuan membayar balik 50 peratus daripada perbelanjaan tahunan operator air untuk tujuan pengurangan NRW dan bayaran balik 75 peratus jika pencapaian itu digandakan.

Atas kejayaan selama tiga tahun berturut-turut, Air Selangor mendapat imbuhan balik berjumlah RM362.4 juta yang diserahkan secara simbolik oleh Menteri NRECC, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu majlis di ibu pejabat Air Selangor di Bangsar pada Selasa.