ALOR SETAR: Kualiti air Sungai Muda tidak terjejas dengan pencemaran meskipun berlaku kerosakan pada satu pintu kawalan Ampang Jajar Sungai Muda yang terbuka tanpa sebarang amaran pada Sabtu lepas sehingga berlaku penurunan mendadak paras air sungai itu.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata berdasarkan bacaan kualiti air sungai melalui stesen pengawasan automatik di Pinang Tunggal, kualiti air sungai itu setakat ini didapati masih terkawal dan boleh dirawat untuk dijadikan sumber air domestik di Kedah.

"Pihak kita (JAS) ada stesen pengawasan automatik di Pinang Tunggal dengan setiap jam akan hantar data ke dalam laman web kita untuk kita pantau kualiti air di Sungai Muda," katanya.

Beliau ditanya pemberita sama ada air Sungai Muda tercemar dengan kejadian itu pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri JAS Kedah di sini hari ini.

Selasa lepas, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dalam satu kenyataan dilaporkan memaklumkan satu pintu kawalan yang telah terbuka tanpa amaran itu menyebabkan air Sungai Muda surut ke paras 0.67 meter berbanding 1.85 meter sebelum kejadian.

Pejabat Pengurusan Lembangan Sungai Muda (PLSM) mengambil tindakan serta-merta menutup pintu air itu secara manual pada pukul 7.30 pagi, Ahad lepas dan pintu itu terbuka tanpa amaran kerana berlaku gangguan teknikal pada sistem automasi kawalan (SCADA).

Dalam pada itu, Sharifah Zakiah berkata pihaknya menjalankan rondaan setiap hari untuk memantau aktiviti pembakaran terbuka dalam keadaan cuaca panas ketika ini dalam usaha mencegah aktiviti itu daripada berleluasa hingga berlaku kebakaran.

Beliau juga meminta orang ramai tidak melakukan pembakaran terbuka kerana berisiko berlaku kebakaran besar apabila api merebak ke kawasan lain.

"Dalam tempoh cuaca panas ini, kita ada terima satu laporan pembakaran terbuka iaitu melibatkan (pihak) kilang di Baling yang membakar sisa kayu dan kita telah hantar notis arahan (supaya berhentikan pembakaran terbuka itu)," katanya.

Menurut Sharifah Zakiah tindakan tegas akan diambil kepada pihak yang masih ingkar iaitu di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM500,000 atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

-- BERNAMA