AirAsia meminta jasa baik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk campur tangan dalam isu perpindahan syarikat penerbangan tambang murah itu dari Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) ke lapangan terbang baru, KLIA2.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Aireen Omar berkata campur tangan Perdana Menteri itu mustahak bagi mencari penyelesaian kepada "isu nasional ini".

"Sebagai penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia, AirAsia harus diberi suara kerana kami adalah pengguna utama KLIA2. AirAsia berharap untuk menyelesaikan isu ini secepat mungkin," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Rabu.

AirAsia akan membentuk 80 peratus daripada jumlah trafik udara di KLIA2 dan menurut Aireen, pihaknya mahu memastikan lapangan terbang baru itu benar-benar dapat berfungsi dan beroperasi untuk jangka panjang.

Kenyataan Aireen ini menyusul kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi yang enggan mengulas keengganan AirAsia untuk berpindah dari LCCT biarpun terminal itu akan menghentikan operasinya pada 9 Mei ini.

AirAsia dijangka akan dipanggil tidak lama lagi oleh jawatankuasa parlimen untuk memberikan pandangannya mengenai lapangan terbang baru itu.

"Saya tidak boleh komen dulu. Kita tunggu hari itu," kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi seperti dipetik oleh Bernama.

LCCT akan menamatkan operasi pada 9 Mei apabila kerajaan memindahkan semua agensi berkaitan seperti imigresen dan kastam berpindah ke lapangan terbang baru, KLIA2.

Pengurus kanan MAHB, Datuk Azmi Murad pula berkata KLIA2 akan beroperasi mengikut jadual.
Ditanya apakah AirAsia ada masa yang cukup untuk memindahkan operasinya ke lapangan terbang baru itu, beliau berkata: "Kita akan lihat."

Aireen dalam satu kenyataan pada Selasa menegaskan AirAsia tidak mahu berpindah ke KLIA2 selagi beberapa isu yang dibangkitkannya tidak diselesaikan terlebih dahulu oleh Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB).

Antara isu itu termasuklah keadaan landasan yang dilaporkan tidak sempurna yang memerlukan langkah pemulihan, tempoh perpindahan yang singkat iaitu kurang daripada dua bulan serta kontrak AirAsia dengan MAHB yang perlu diselesaikan sebelum ia berpindah ke lapangan terbang baru.

Menurut Aireen, beliau membuat penjelasan ini kerana tidak mahu masyarakat salah anggap memikirkan AirAsia sengaja tidak mahu berpindah atau bersikap cerewet.

"Saya boleh jamin bahawa itu bukan niat kami," katanya.

Jelas beliau, apa yang dibangkitkan oleh AirAsia khususnya soal keupayaan dan keselamatan KLIA2 adalah isu-isu penting kepada kakitangannya serta demi keselesaan pelanggan.

Menurut Aireen, pihaknya "lebih daripada bersedia" untuk berpindah ke KLIA2 tetapi perpindahan itu mestilah dilakukan dengan betul.

"Kami sudah melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan semua isu yang tertunggak dan mendesak (seperti yang telah ia lakukan sejak tiga tahun lalu) dengan Malaysia Airports Holding Berhad bagi membolehkan kami berpindah (ke lapangan terbang baru itu)," katanya.

Bagaimanapun, syarikat penerbangan tambang murah itu merasakan pihak pentadbirnya hendaklah bebas seperti dalam industri lain di negara ini.

Aireen turut menarik perhatian bahawa KLIA2 berpotensi untuk jadi hab penerbangan global sama seperti Dubai dan AirAsia sebagai syarikat penerbangan tambang murah yang terbesar di rantau ini akan memastikan potensi itu jadi realiti.