BUKIT PALAH: Majlis Agama Islam Negeri digesa untuk lebih proaktif dalam mengadakan muzakarah berhubung fatwa bagi mengekang dan mengambil tindakan terhadap pengasas mahu pun gerakan ajaran sesat.
 
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, keputusan menfatwakan sebarang tindakan berkaitan ajaran sesat termasuk ajaran Hadi Minallah terletak di bawah bidang kuasa agama setiap negeri.

"Setakat ini pihak kita sudah mengenal pasti soal ajaran ini dan telah pun Menteri Agama keluar kenyataan dan soal menfatwakan atau lebih lanjut, kita serah kepada negeri masing-masing terutama negeri yang ada gerakan ajaran tersebut.

"Mereka perlu lebih proaktif untuk mengadakan muzakarah fatwa negeri masing-masing untuk supaya nanti ia boleh diambil tindakan kalau dah ada fatwa.

"Cuma setakat ini dalam pengawasan kita, menggunakan  segala peruntukan undang-undang sedia ada bagi mengekang penularan ajaran ini." katanya.
 
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Penghayatan Nilai-Nilai Islam, penjawat awam peringkat negeri Melaka di Masjid Al-Azim, Bukit Palah Melaka pada Selasa.
 
Mengulas lanjut katanya, setakat ini tiga negeri yang dikenal pasti terdapat gerakan ajaran Hadi Minallah iaitu Selangor, Kedah dan Johor sudah diambil tindakan penyiasatan.
 
Katanya, kumpulan itu jelas menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar dan kerajaan tidak memandang ringan dan sentiasa mengambil langkah segera bagi mengekang penularan ajaran berkenaan.
 
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad memaklumkan kerajaan tidak boleh mengambil sebarang tindakan terhadap pengasas mahu pun gerakan ajaran sesat di negara ini tanpa kebenaran Majlis Fatwa Kebangsaan terlebih dahulu.
 
Beliau berkata, pihaknya perlu menunggu Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa terhadap ajaran Hadi Minallah sebelum tindakan dapat diambil.