KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu pada Khamis mewartakan ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem sebagai sesat kerana ia bercanggah dengan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) di negara ini.

Mufti Terengganu, Datuk Mohamad Sabri Harun berkata, ketetapan itu dibuat susulan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu kali ke-15 yang berlangsung pada 30 Ogos lalu.

Menurutnya, terdapat tujuh ketetapan bahawa ajaran itu sesat lagi menyesatkan kerana ia bercanggah dengan tonggak akidah yang diyakini oleh ulama al-Asya’irah dan al-Maturidiyyah.

“Ciri-ciri penyelewengan ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem antaranya mendakwa Allah SWT maha berkuasa terhadap segala sesuatu dan oleh sebab itu jika Allah SWT menghendaki mengadakan anak untuk diri-Nya, Dia maha berkuasa menciptanya.

“Dakwaan ini merosakkan pegangan akidah masyarakat Islam kerana (ajaran itu) memahami bahawa Allah SWT harus mempunyai anak, sedangkan jelas Allah SWT mustahil mempunyai anak.

"Selain itu, terdapat dakwaan bahawa Allah SWT Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu dan oleh sebab itu, jika Allah SWT menghendaki duduk atas belakang sayap nyamuk, Dia Maha Berkuasa melakukannya.

"Dakwaan ini merosakkan pegangan akidah masyarakat Islam kerana memahami seolah-olah Allah SWT mempunyai sifat dan jisim yang sama seperti makhluk," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.

Selain itu, Mohamad Sabri berkata, ajaran itu turut mendakwa bahawa tidak sah solat di belakang imam yang berpegang dengan akidah al-Asya’irah.

"Jika solat Jumaat di belakang imam yang bermazhab al-Asya’irah, maka solatnya hendaklah diulang dengan solat zuhur. 

"Ini antara kesesatan ajaran yang dibawa oleh dia dan jika tidak dihentikan kita khuatir ia akan mengelirukan masyarakat beragama Islam di negara ini," katanya.

Sehubungan itu katanya, umat Islam yang mengamalkan ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem adalah haram.

"Pihak Jwatankuasa Fatwa memutuskan bahawa ajaran itu sebagai fahaman ektremis agama atau golongan pelampau (ghuluw) yang boleh mengancam keselamatan negara.

"Kita turut menggesa supaya penulisan ataupun penerbitan bercetak berhubung ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem disekat.

"Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan tidak dibenarkan berselindung di sebalik apa-apa aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian dan sebagainya melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat yang mempunyai kaitan dengan ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem," ujarnya.

Difahamkan, ajaran itu dibawa oleh seorang pendakwah bebas berasal dari Syria yang fasih berbahasa Melayu dan tinggal di negeri itu setelah berkahwin dengan warganegara Malaysia. - Sinar Harian