BESUT:Kalau bukan sekarang, entah bila lagi?

Fenomena air pasang besar tidak menghalang sepasang pengantin untuk meneruskan majlis akad nikah di Kampung Pengkalan Atap, Kuala Besut, Terengganu.

Bagi Siti Atikah Mohd Yusof, dia dan pasangannya, Mohd Shahrul Aznil, keputusan untuk mengadakan majlis bersejarah mereka lebih awal daripada jadual asal berikutan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan, berdepan pula dengan cabaran lain.

Hendak mengelak majlis tertunda lebih lama, tanpa dijangka mereka terpaksa pula berdepan dengan situasi 'cemas'.



Siti Atikah dan Mohd Shahrul tidak menyangka kawasan sekitar rumahnya dinaiki air ketika majlis sedang berlangsung. 

Namun, alang-alang sudah sedia, impian menjadi pasangan suami isteri diteruskan juga dalam situasi itu.

“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Perkara ni memang tidak dirancang. Hari tu nak buat pada 17 hari bulan (Januari), tapi disebabkan PKP (yang baru diumumkan), kita terpaksa percepatkan majlis ni.

“Tapi tak sangka pula air (naik). Air penuh depan tangga ni. Setakat ni, dua tangga tu air dah (naik) melimpah. Tapi Alhamdulillah syukur... meriah juga. Orang kata pengantin dalam banjir.

Sementara itu, Maimunah Ali Muhamamd, 63 tahun, berkata, walaupun rumahnya dinaiki air, majlis berkenaan tetap diteruskan.

"Saya pun tak sangka jadi macam ni. Nak kahwin tiba-tiba jadi macam ni. Kira saat akhir jadi macam ni. Kira tak boleh buat apa. Akad nikah sepatutnya malam ni. Air naik sudah melimpah dua tangga. Memang tak sangka sebab kalau ikut dah seminggu tak jadi macam ni,” katanya.

Menurut Maimunah, dia bersyukur majlis berkenaan berjalan lancar walaupun dalam keadaan serba sederhana.