Skip to main content

Malaysia

AKPS gagalkan cubaan seludup keluar dadah bernilai RM1.69 juta di KLIA Terminal 1

Antara bunga ganja yang dirampas hasil kerjasama antara AKPS dan AVSEC di KLIA pada Isnin. - FOTO: AKPS
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar dadah bernilai RM1.69 juta ke luar negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, pada Isnin. - Foto AKPS/via Sinar Harian
Advertisement

PUTRAJAYA: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar dadah bernilai RM1.69 juta ke luar negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, pada Isnin.

Ketua Pengarah Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata pihaknya menahan seorang wanita warga tempatan berusia 30-an, serta merampas bagasi yang dipercayai mengandungi dadah jenis bunga ganja di terminal berkenaan.

“Kepada semua rakyat Malaysia, berhati-hatilah apabila mendapat tawaran untuk membawa barangan yang dia tidak tahu milik siapa dan ke mana dan siapa penerimanya.

“Akhirnya yang akan menerima musibahnya ialah orang yang membawa,” katanya dalam sidang media selepas perhimpunan bulanan AKPS di sini hari ini.

Sementara itu, AKPS dalam kenyataan berasingan memaklumkan bahawa rampasan berkenaan merupakan hasil tindakan bersepadu dan kerjasama erat antara AKPS KLIA dengan Aviation Security (AVSEC) dalam memperkukuh kawalan keselamatan di pintu masuk negara, serta membanteras aktiviti penyeludupan rentas sempadan.

Hasil pemeriksaan terperinci menemukan 39 bungkusan disyaki bunga ganja seberat 21.14 kilogram. 

“Dadah berkenaan dianggarkan mampu menampung penggunaan 70,333 individu pada satu-satu masa. Suspek dan barang rampasan telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan serta tindakan lanjut, di bawah peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.

AKPS memaklumkan kejayaan ini membuktikan keberkesanan kawalan keselamatan berlapis di pintu masuk dan keluar negara, serta tahap kesiapsiagaan anggota penguat kuasa dalam mengesan cubaan penyeludupan menggunakan pelbagai modus operandi.

“AKPS akan terus memperkukuh kawalan sempadan negara melalui pendekatan penguatkuasaan yang bersepadu, penggunaan teknologi pemeriksaan terkini serta kerjasama strategik dengan agensi-agensi penguat kuasa, bagi membanteras aktiviti penyeludupan dadah dan jenayah rentas sempadan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement