PELABUHAN KLANG: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim esok berhubung isu lambakan kontena sisa elektronik (e-waste) yang dikesan di Pelabuhan Klang.
Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata pertemuan akan turut disertai Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain bagi mengemukakan syor yang dirangka secara bersama oleh beberapa agensi berkaitan.
Advertisement
Menurut beliau, antara fokus utama syor tersebut ialah langkah mempercepatkan proses menghantar semula kontena e-waste yang dikenal pasti keluar dari negara.
“Kita tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak mengenai bagaimana perkara ini boleh berlaku.
“Apa yang lebih penting sekarang ialah semua agensi duduk bersama dan menyelesaikan isu ini secara kolektif.
“Esok, saya bersama Ketua Pengarah AKPS akan bertemu Perdana Menteri untuk membentangkan syor yang telah disediakan secara bersama,” katanya ketika ditemui media selepas program agihan bubur lambuk kepada anggota penguat kuasa dan petugas pelabuhan, dengan kerjasama Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), di sini pada Rabu.
Lebih 700 bekas bubur lambuk diagihkan, antaranya kepada Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Pejabat Kesihatan Pelabuhan Klang dan Balai Polis Pelabuhan Klang.
Mengulas lanjut, Nik Ezanee berkata usaha menyelesaikan isu kontena e-waste digerakkan melalui penubuhan Jawatankuasa Joint Task Force E-Waste di peringkat Pelabuhan Klang, yang dianggotai beberapa agensi termasuk JKDM, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) serta Lembaga Pelabuhan Klang.
Katanya, hasil semakan bersama setakat ini kira-kira 800 kontena dikenal pasti mengandungi e-waste.
“Setiap agensi sebelum ini ada senarai masing-masing, jadi kita harmonikan senarai tersebut bagi mengenal pasti kontena yang sudah diperiksa dan yang masih belum diperiksa.
“Daripada situ kita tentukan tindakan seterusnya termasuk proses notis dan aliran kerja untuk membolehkan kontena ini dihantar keluar semula,” ujar beliau.
Mengulas mengenai tempoh masa penghantaran semula kontena berkenaan, Nik Ezanee berkata pihaknya tidak mahu menetapkan garis masa khusus buat masa ini.
Namun, beliau secara peribadi menegaskan operasi penghantaran keluar kontena e-waste dijangka dapat dimulakan seawal mungkin selepas Aidilfitri.
Beliau turut memaklumkan sumber risikan menunjukkan kegiatan membawa masuk e-waste ke Malaysia dipercayai sudah berkurangan berikutan perhatian serius pihak berkuasa terhadap isu tersebut.
Terdahulu, Nik Ezanee dilaporkan berkata, sejak Op Green Shield 1 hingga Op Green Shield 17 dilancarkan, sebanyak 3,328.36 tan e-waste(3,328,365 kilogram) dikesan dengan 163 kontena dikenal pasti mengandungi sisa elektronik.