Pemeteraian beberapa perjanjian di bawah Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Kelantan atau migrasi air antara Kerajaan Persekutuan dan Kelantan hari ini diharap dapat mendorong Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bergerak lebih proaktif dalam merealisasikan impian rakyat untuk menikmati bekalan air bersih.

Yang Dipertua Majlia Belia Kelantan (MBK) Syahbuddin Hashim berkata ini kerana berdasarkan rekod sebelum ini AKSB tidak berupaya menyediakan bekalan air bersih walaupun telah menerima peruntukan sehingga RM770 juta daripada Kerajaan Persekutuan.

"Kami harap suntikan dana daripada Kerajaan Persekutuan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya AKSB agar penyediaan air berkualiti dicapai demi kepentingan rakyat Kelantan.

"AKSB juga perlu lebih serius menangani isu ini kerana kami rakyat Kelantan tidak mahu lagi adanya istilah 'bangau oh bangau' selepas sekian lama rakyat menderita ," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Kerajaan Persekutuan dan Kelantan hari ini memuktamadkan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Kelantan yang bakal memanfaatkan 1.6 juta pengguna di negeri itu dengan perkhidmatan air yang lebih mampan.

Rundingan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air negeri Kelantan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kelantan bermula sejak 2008 tanpa sebarang penyelesaian dan kemelut itu telah menjejaskan industri perkhidmatan bekalan air, khususnya berkaitan kualiti dan kuantiti air di negeri ini.

Kelantan merupakan negeri keenam yang melaksanakan penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air seperti diperuntukkan di bawah Akta 655 selepas Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor.

Mengulas lanjut, Syahbudin berkata alasan kewangan yang menjadi kekangan utama AKSB sebelum ini diharap selesai dengan perjanjian itu, sekali gus memberi keupayaan kepada syarikat air berkenaan menyelesaikan keperluan asas rakyat.

Beliau berkata perjanjian itu juga dilihat mampu mengurangkan beban rakyat dalam berhadapan kos hidup yang lebih tinggi ketika ini terutama kos dobi, kos menyediakan penapis air dan kos membeli air bersih yang ditanggung selama ini.

"Terima kasih dan tahniah kepada Perdana Menteri dan Menteri Besar Kelantan atas termeterainya perjanjian ini yang memang dinantikan rakyat. Ia tanda dan bukti keperihatinan kerajaan kepada nasib rakyat negeri ini tanpa mengira fahaman politik," katanya.

Sementara itu, Ketua Badan Bertindak Restorasi Air Kelantan (Restorasi) Datuk Seri Dr Mohd Fared Ab Ghani dalam satu kenyataan berkata gabungan badan bukan kerajaan (NGO) itu berpendirian langkah migrasi air itu akan berjaya mencapai aspirasi penduduk Kelantan jika rombakan dan penyusunan semula pentadbiran AKSB turut dilaksanakan.

Beliau mendakwa walaupun Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah meletakkan sasaran prestasi kepada AKSB namun agensi berkenaan masih gagal mencapai sasaran yang ditetapkan.