HARI Kesihatan Mental Sedunia (HKMS) disambut pada tanggal 10 Oktober setiap tahun.

Program yang dimulakan oleh Persekutuan Kesihatan Mental Sedunia atau World Federation for Mental Health (WFMH) pada tahun 1992 ini mempunyai tema yang berlainan saban tahun, seiring dengan kepentingan kesihatan mental semasa.

Pada tahun ini, temanya adalah 'Greater investment, greater access-everyone, everywhere' ataupun Pelaburan yang lebih baik, akses yang lebih baik - Kesihatan mental untuk semua, di mana sahaja.

Pada ketika ini, dunia sedang menghadapi kesan daripada pandemik COVID-19 yang turut melibatkan impak ke atas kesihatan mental.

Kedudukan ekonomi yang membimbangkan, ketakutan mendapat jangkitan, kadar jangkitan yang semakin tinggi saban hari serta kehilangan kerja merupakan antara faktor yang menyumbang kepada masalah kesihatan mental secara global.

Sehingga hari ini, dunia masih lagi bertarung untuk mengawal pandemik ini yang masih lagi tidak nampak penghujungnya.

Ini menyebabkan berlakunya peningkatan kes kesihatan mental yang sebelum tercetusnya pandemik juga berada dalam keadaan yang membimbangkan.

Mengikut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang diterbitkan pada tahun 2001, terdapat kira-kira 450 juta penduduk dunia yang mempunyai penyakit mental dan ini merupakan salah satu punca utama ketidakupayaan di seluruh dunia.

Kira-kira satu daripada empat individu mempunyai risiko untuk mendapat masalah kesihatan mental sepanjang hidup mereka.


Masalah serius

Kejadian bunuh diri juga merupakan satu masalah yang serius. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (2018) juga menyatakan bahawa satu kematian disebabkan bunuh diri berlaku setiap 40 saat.

Setiap tahun, dianggarkan bahawa terdapat 800,000 individu yang membunuh diri.

Angka ini adalah amat membimbangkan.

Sejak berlakunya pandemik, kita juga melihat peningkatan dalam kejadian bunuh diri yang melibatkan mereka yang terkesan akibat jangkitan dan juga ekonomi.

Secara umumnya, bagi setiap insiden bunuh diri, terdapat ramai lagi individu yang membuat cubaan bunuh diri.

Statistik menunjukkan bahawa kematian akibat bunuh diri merupakan punca kedua tertinggi kematian bagi mereka yang berusia 15 sehingga 29 tahun, iaitu usia di mana seseorang itu masih lagi muda dan produktif.

Di Malaysia, hasil kajian Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 mendapati 29.2 peratus rakyat mengalami tekanan atau masalah kesihatan mental.

Ini bermaksud, tiga daripada 10 individu berusia 16 tahun ke atas mempunyai masalah kesihatan mental di mana wanita menunjukkan kadar yang sedikit tinggi berbanding lelaki.

Manakala hasil kajian terkini Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 mendapati bahawa 2.3 peratus rakyat Malaysia iaitu hampir setengah juta penduduk mengalami kemurungan.

Ia didapati lebih tinggi di kalangan wanita, bujang dan mereka yang tinggal di luar bandar.

Melihat kepada angka-angka ini jelas untuk kita beri tumpuan tentang meningkatkan pelaburan serta akses kepada perkhidmatan kesihatan mental bagi membolehkan pencegahan dan perawatan kesihatan mental dijalankan.

Lebih-lebih lagi kini apabila kehadiran pandemik COVID-19 menimbulkan pelbagai impak psikologi yang ketara.



Pada peringkat global, PBB telah memperkenalkan 'Universal Health Coverage (UHC)' atau liputan kesihatan sejagat sebagai satu objektif bagi memastikan semua individu di seluruh dunia mempunyai akses serta kualiti yang sama dalam perkhidmatan kesihatan.

Ini bermaksud bahawa mereka boleh mendapatkan akses kepada kesihatan mental yang berkualiti apabila diperlukan tidak kira di mana mereka berada dan pada bila-bila masa sahaja tanpa menghadapi masalah atau kekangan kewangan.

Ini dapat dicapai dengan adanya perkhidmatan kesihatan primer yang menyeluruh.

Ini bermaksud mereka yang tinggal di kawasan pedalaman atau terpencil juga dapat mengakses perkhidmatan kesihatan apabila diperlukan.

Kesihatan mental adalah hak asas seorang individu dan adalah penting agar rawatan dapat diakses oleh semua.

Bagaimanapun, pelaburan harus dibuat bagi meningkatkan sumber sedia ada.


Tidak cukup

Umum mengetahui bahawa bilangan pakar psikiatri, pegawai psikologi klinikal dan pegawai psikologi kaunseling di negara kita adalah masih tidak mencukupi.

Untuk itu, fasiliti kesihatan primer iaitu klinik-klinik kesihatan merupakan fasiliti terbaik untuk diakses oleh semua.

Apabila dilihat kepada perkhidmatan sedia ada, didapati bahawa liputan perkhidmatan kesihatan mental adalah agak baik.

Menurut satu laporan akhbar pada 18 Julai tahun lepas, di peringkat kesihatan primer, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyediakan perkhidmatan kesihatan mental di 1,001 klinik kesihatan di seluruh negara sebagai langkah rawatan, pengesanan awal dan pencegahan.

Antara perkhidmatan yang disediakan termasuklah aktiviti promosi, pengesanan awal dan rawatan.

Pengesanan serta rawatan awal adalah amat penting kerana ia membolehkan proses penyembuhan berlaku dengan lebih cepat.

Perkhidmatan psikiatri pula disediakan di empat buah institusi mental dan 61 hospital kerajaan di seluruh Malaysia.

Terdapat juga 25 Pusat Kesihatan Mental Masyarakat atau Mentari di seluruh negara.

Walaupun demikian, usaha sedang dibuat bagi meningkatkan lagi bilangan hospital yang menawarkan perkhidmatan psikiatri bagi membolehkan liputan perkhidmatan yang lebih luas terutamnya yang melibatkan bidang subkepakaran.

Terdapat juga keperluan untuk menambahkan bilangan pakar psikologi klinikal dan jurupulih cara kerja khusus bagi meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan.

Perkhidmatan psikiatri pada masa kini amat menekankan kolaborasi dan jaringan kerjasama dengan kesihatan primer bagi membolehkan pesakit dikesan dengan lebih awal serta memastikan bahawa mereka mendapat rawatan yang sewajarnya.

Usahasama begini membolehkan  rujukan dibuat dengan lebih mudah dengan garis panduan yang jelas.

Tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia baru-baru ini untuk menawarkan perkhidmatan 170 pegawai psikologi kaunselling secara kontrak merupakan satu contoh pelaburan yang amat baik bagi membolehkan perkhidmatan kesihatan mental diperolehi dengan lebih mudah.

Ini kerana mereka akan ditempatkan di klinik-klinik kesihatan di seluruh negara.

Secara tidak langsung, menguatkan lagi perkhidmatan kesihatan mental di fasiiti kesihatan primer sedia ada.

Pegawai psikologi kaunselling akan membantu dalam memberikan perkhidmatan kaunseling bukan sahaja kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental, tetapi juga membantu mereka yang mempunyai ketagihan dadah serta masalah keganasan rumah tangga.

Selain daripada itu, pewujudan talian sokongan psikososial dengan kerjasama KKM dan Mercy Malaysia ketika bermulanya pandemik COVID-19 juga merupakan salah satu cara bagi membolehkan orang ramai mendapatkan akses yang lebih mudah untuk mendapatkan bantuan berkenaan isu kesihatan mental.

Melihat kepada contoh-contoh ini, dapat dilihat bahawa negara kita berada di landasan yang betul dan seiring dengan apa yang disarankan oleh WFMH dan PBB.

Namun demikian, usaha ini harus dipertingkatkan lagi dan ini memerlukan kerjasama dari pelbagai pihak.

Ini bermakna pihak kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi, masyarakat serta individu harus sama-sama berganding bahu dalam mencapai matlamat ini.

Perlu diingatkan bahawa tiada kesihatan yang baik tanpa kesihatan mental.

Semoga semua usaha ini akan memudahkan kita menghadapi cabaran di masa hadapan terutamanya apabila dijangkakan berlakunya peningkatan kes kesihatan mental pasca pandemik.

Selamat Hari Kesihatan Mental Sedunia 2020! Kesihatan mental untuk semua, di mana sahaja.



* Penulis adalah Setiausaha Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA).

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.