Akses vaksin influenza perlu diperluas, tangani lonjakan kes - MPS

Langkah itu bagi mengekang peningkatan kes jangkitan di sekolah serta mengurangkan tekanan terhadap jabatan kecemasan hospital. - Bernama
KUALA LUMPUR: Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) mencadangkan supaya akses vaksin influenza diperluas di seluruh negara dan memberi autoriti sepenuhnya kepada ahli farmasi terlatih untuk melaksanakan program vaksinasi komuniti.
Menurut MPS, langkah itu bagi mengekang peningkatan kes jangkitan di sekolah serta mengurangkan tekanan terhadap jabatan kecemasan hospital.
Presidennya Prof Amrahi Buang berkata inisiatif itu penting bagi melindungi golongan berisiko tinggi, mengekalkan kesinambungan pengajaran di sekolah serta memastikan sistem kesihatan kekal berdaya tahan menghadapi lonjakan kes penyakit berjangkit.
"Kita dapat mengurangkan bebanan Jabatan Kecemasan sambil melindungi golongan yang paling berisiko."Dengan membenarkan ahli farmasi terlatih memberikan suntikan vaksin, bekerjasama dengan rakan dalam bidang perubatan dan kejururawatan serta merujuk kes penyakit seakan influenza (ILI) yang ringan ke pusat jagaan primer, maka kita apat menambah keupayaan perkhidmatan kesihatan ... .," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
MPS mencadangkan ahli farmasi komuniti terlatih diberi kebenaran berterusan untuk mengendalikan vaksin dewasa termasuk influenza, pneumokokal, penggalak COVID-19 dan Td/Tdap, mengikut piawaian serta SOP Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Persatuan itu turut mengesyorkan pelaksanaan inisiatif penjagaan primer 'uji dan rawat', serta pengeluaran pekeliling piawai sekolah berkaitan pemeriksaan simptom, pemakaian pelitup muka semasa bergejala, pengudaraan dan peraturan tempoh 24 jam bebas demam sebelum kembali ke sekolah.
Langkah itu, bukan sekadar respons sementara tetapi sebahagian daripada strategi pencegahan jangka panjang.
"Ini berkaitan dengan tahap siap siaga dan kesinambungan. Lebih banyak lokasi vaksinasi di komuniti, perlindungan berterusan di sekolah, serta satu piawaian keselamatan yang sama bagi semua pemberi vaksin adalah langkah praktikal yang boleh diteruskan selepas ini, supaya keluarga mendapat perlindungan sewajarnya dan hospital sentiasa tersedia untuk kes kecemasan," katanya.
Menurut MPS, langkah tersebut telah berjaya dilaksanakan di beberapa negara serantau, Singapura misalnya melancarkan inisiatif vaksinasi influenza oleh ahli farmasi komuniti pada 2024, dan setakat Julai 2025 lebih 1,200 individu telah menerima vaksin di farmasi runcit.
Sementara itu di Filipina pula, ahli farmasi diberi kebenaran sah untuk memberikan vaksin dewasa termasuk influenza dan pneumokokal di bawah Philippine Pharmacy Act (RA 10918).
Selain itu, MPS meminta kerajaan menerbitkan papan pemuka mingguan berkaitan kadar vaksinasi, kluster influenza dan jangkitan saluran pernafasan akut (SARI) bagi membantu penyaluran maklumat awam serta pengurusan sumber kesihatan secara berkesan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami