Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat, cadangan mewujudkan kembali Akta Antiberita Tidak Benar mungkin boleh difikirkan semula.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan keputusan mengenainya kepada pihak kerajaan.

“Ia adalah sesuatu yang mungkin kita boleh fikirkan semula jika dirasakan perlu. Namun, apa yang lebih penting ialah situasi masa kini, bagaimana menanganinya.

"Kita juga ada undang-undang lain juga termasuk di bawah Kanun Keseksaan yang dilakukan polis yang saya rasakan sudah cukup dikuatkuasakan sepenuhnya,” katanya dalam sidang media yang turut dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador di Bukit Aman di sini pada Khamis.

Dalam masa sama, selain di bawah Kanun Keseksaan, undang-undang sedia adalah turut melibatkan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

“Jadi yang saya sebutkan tadi tindakan juga diambil berdasarkan apa yang telah berlaku. Soal tiada undang-undang Anti Fake news itu boleh difikirkan semula, sama ada wajarkah kerajaan nak bentang semula atau sebagainya. Itu serah pada pihak kerajaan untuk meneliti soal itu,” tambahnya lagi.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman yang mengatakan Akta Antiberita Tidak Benar tidak sepatutnya dimansuhkan dalam keadaan negara menghadapi penyebaran fakta palsu mengenai virus koronavirus.

Akta Antiberita Tidak Benar 2018 dibentangkan di Parlimen pada 27 Mac 2018 sebelum diluluskan pada 2 April tahun sama, dengan pindaan terhadap hukuman penjara daripada maksimum 10 tahun kepada enam tahun.

Akta itu bagaimanapun dimansuhkan selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran selepas menang Pilihan Raya Umum Ke-14.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengingatkan mana-mana pihak agar tidak mengeluarkan fakta atau kenyataan yang boleh mengundang panik kalangan rakyat dalam keadaan negara menghadapi penularan koronavirus.

“Saya nak ingatkan dalam keadaan ini jangan ada pihak putar belit dan buat fake news. Saya rasa tujuan semalam hanya undang panik. Oleh itu ada dua agensi terlibat kawal selia ambil tindakan. Satu SKMM, dan kedua kes di bawah polis,” katanya.

Ketika ini, tujuh kes telah diambil tindakan melibatkan penyebaran berita palsu.

“Jangan main-main dengan berita palsu begitu dalam keadaan kritikal ini. Saya tak tahu tujuan dia tetapi ia mewujudkan suatu suasana takut masyarakat,” kata Muhyiddin.