Cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar satu akta baru diwujudkan bagi membantu polis melaksanakan tugas dalam mengurangkan kadar jenayah dilihat sebagai suatu usaha kuatkuasa yang mampu menurunkan kadar jenayah yang semakin hari semakin membimbangkan.

Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Tan Sri Mohd Zaman Khan berpendapat sudah tiba masanya untuk satu akta atau undang-undang baru digubal demi untuk ketenteraman masyarakat.

“Saya berasa syukur kerana kita amat memerlukan satu undang-undang yang mampu dikuatkuasakan demi kesejahteraaan masyarakat,” kata Mohd Zaman.

Menurut beliau juga, akta yang sedia ada dianggap sebagai terlalu terhad dalam melaksanakan penguatkuasaan kepada pesalah-pesalah jenayah, maka disebabkan kelonggaran itulah membawa kepada banyaknya berlaku kejadian jenayah yang menjadi-jadi.

Bagi penganalisis jenayah, Datuk Akhbar Satar pula berpendapat akta baru yang bakal diwujudkan diharapkan dapat mengikut keadaan semasa agar ianya menjadi lebih efektif dalam menangani permasalahan jenayah yang sedia meruncing ini.

Di Selangor, lebih 90 peratus kadar jenayah dilakukan oleh bekas-bekas banduan yang pernah ditahan di bawah Ordinan Darurat (EO) dan oleh sebab itu, satu analisa terbaik diperlukan dalam mewujudkan akta baru itu.

“Diharapkan kerajaan dapat mengkaji kelemahan pada undang-undang sedia ada untuk dijadikan sebagai penambahbaikkan kepada akta yang bakal diwujudkan itu,” katanya lagi.