KUALA LUMPUR: Definisi rasuah perlu diperjelaskan dengan sebaiknya sebelum akta dana politik dilaksanakan kelak.

Pengerusi bersama Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam, Andrew Khoo menjelaskan, ia termasuk penggunaan istilah derma yang sering digunakan mereka berpengaruh dalam sesuatu pembayaran atau pemberian.

"Masalahnya dari sudut perundangan ialah, apabila derma itu dimasukkan dalam aktiviti rasuah, 'derma' ini mungkin (dimaksudkan) sama ada bayaran atau penglibatan bagi tujuan faedah atau ganjaran, atau sesuatu yang telah dilakukan di mana pemberinya akan mendapat manfaat darinya, atau sudahpun mendapat faedahnya. 

"Saya rasa perkara itu menjadi masalah utama buat masa ini. Perkara inilah untuk kita lihat bagaimana undang-undang itu mendefinisikan rasuah kerana wujudnya definisi asal rasuah itu sendiri," katanya semasa memberikan ucaptama Forum secara maya bertajuk Money Politics: Financing Free and Fair Elections pada Jumaat. 

Jelasnya, derma pada asalnya bermaksud pemberian daripada seseorang yang tidak mendapat manfaat daripadanya.

Namun, ia menjadi persoalan apabila derma dipergunakan dalam aktiviti rasuah.
   
Dalam pada itu, katanya, faktor hilang pengaruh dan penyokong juga menyebabkan ada ahli politik yang merasakan dana atau pembiayaan yang diperoleh tidak perlu didedahkan.

Justeru katanya, maksud derma yang sebenar dan pembiayaan dengan niat mendapat faedah perlu dilihat semula serta menjadi persoalan paling besar dalam mewujudkan akta dana politik.

 
 

Dalam pada itu, dalam forum sama, Pengasas bersama Undi18, Tharma Pillai mencadangkan agar pengundi muda didedahkan dengan penjelasan mengenai ekosistem politik wang dan bukan hanya tertumpu kepada  pemilihan pemimpin yang baik.

Katanya, perbincangan mengenai ekosistem berkenaan masih lagi kurang di Malaysia.

"Adalah sangat penting untuk menjelaskan mengenai isu ini bahawa ia adalah isu melibatkan sistem dan bukan hanya isu pemimpin. Saya rasa masih jauh untuk sesetengah rakyat Malaysia untuk mengubah norma dalam memilih pemimpin yang baik dan betul yang mampu menjaga kebajikan semua.

"Perbincangan mengenai sistem, rangka kerja perundangan, adalah sesuatu masih lagi kurang di Malaysia, Saya rasa adalah sangat penting untuk kita tahu bahawa ekosistem politik wang bukan hanya isu elit, ia bukan hanya berlaku di Putrajaya, dan kita menyalahkan kumpulan ahli politik elit berkenaan.

"Namun, ia turut mendapat persetujuan dan sokongan daripada pengundi dan kawasan pilihan raya," katanya lagi. 

 

Untuk rekod, Kerajaan Barisan Nasional pernah mencadangkan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik pada 2016, namun dibantah parti pembangkang pada ketika itu.

Kemudian, pada 2018, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) membangkitkan semula cadangan menggubal dan membentangkan akta dana politik  sebagai usaha membanteras rasuah.

Namun, sehingga ke saat pentadbiran Kerajaan terus bertukar tangan, akta berkenaan masih berada di peringkat cadangan.