Undang-undang baharu berkaitan kebenaran hak pesakit mendapatkan ubat-ubatan sama ada daripada doktor ataupun farmasi sudah dimuktamad dan akan dibawa ke Parlimen tidak lama lagi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S.Subramaniam memaklumkan, Akta Farmasi akan dibentangkan di Dewan Rakyat sejurus mendapat kelulusan daripada Majlis Peguam Negara.

Akta itu katanya tidak akan mengubah keseluruhan sistem sedia ada tetapi lebih kepada dilonggarkan untuk memberi kebebasan kepada pesakit memilih mengikut keselesaan mereka.

“Kita mahu benarkan kedua-duanya, di mana doktor boleh beri preskripsi, farmasi juga boleh beri preskripsi, kedua-duanya boleh keluarkan ubat dan pesakit ada pilihan,” katanya selepas merasmikan persidangan Pemasaran Bijak Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia InsigHT 2017 di sini hari ini.

Jelasnya lagi, butiran yang diperuntukkan dalam akta tersebut berdasarkan faktor keselesaan pesakit mengikut keadaan setempat dan kos, selepas turut mengambil kira pendapat pihak berkepentingan.

“Kalau hujahnya mengenai keuntungan, kedua-dua pihak akan terus bertelagah.

“Ia mengikut keselesaan. Contohnya, ada pesakit di sebuah kampung pergi ke klinik berdekatan dan farmasi terdekat jaraknya 30km daripada kampung itu.

“Atau dia ke klinik itu pada waktu tengah malam dan mendapat preskripsi daripada doktor tetapi tidak dapat ke farmasi itu untuk mendapatkan ubat sehingga esok pagi. Jadi ini satu keadaan yang tidak selesa untuk pesakit,” jelasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai persidangan yang berlangsung selama dua hari di Bangsar itu, Dr Subramaniam menekankan keperluan hospital untuk terus meningkatkan kualiti perkhidmatan setaraf penerimaan standard antarabangsa.

Ini kerana ia turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara apabila rakyat dari seluruh dunia akan datang untuk tujuan perubatan, yang turut akan memanfaatkan industri lain.

Pada masa sama, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MTHC), Shere Azli, Malaysia mempunyai pelbagai kepakaran perubatan tetapi perlu digiatkan lagi usaha pemasaran agar lebih menonjol.

“Ramai mengakui perkhidmatan penjagaan kesihatan dan perubatan di Malaysia sangat baik, tetapi kita kurang menguar-uarkannya,” katanya.

Untuk tahun 2016, direkodkan 921,000 pelancong perubatan berkunjung ke Malaysia dengan perbelanjaan berjumlah RM1.2 bilion.