Skip to main content

Malaysia

Akta Insolvensi rentas sempadan perkukuh keyakinan pelabur, kerjasama serantau - Azalina

Azalina menyampaikan ucaptama pada Forum Pembaharuan Insolvensi Asia (FAIR) 2026 yang berlangsung hari ini. - Gambar Bernama
Azalina menyampaikan ucaptama pada Forum Pembaharuan Insolvensi Asia (FAIR) 2026 yang berlangsung hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan Akta Insolvensi Rentas Sempadan 2026 (Akta 877) memperkukuh reputasi Malaysia sebagai hab perdagangan yang berdaya saing dan diyakini di Asia Tenggara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Azalina berkata akta tersebut yang berasaskan Undang-Undang Seragam (Model Law) mengenai Insolvensi Rentas Sempadan Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Perdagangan Antarabangsa (UNCITRAL), mewujudkan suatu kerangka perundangan yang lebih lancar dan teratur bagi mengiktiraf prosiding undang-undang asing serta memperkukuh penyelarasan kehakiman merentas sempadan negara.

“Urus niaga perdagangan moden kini semakin berkembang merentasi sempadan negara. Sesebuah syarikat mungkin mempunyai pemiutang di sebuah negara, aset di negara lain dan pelabur di beberapa bidang kuasa yang berbeza.

Advertisement

“Apabila berlaku masalah kewangan, prosiding insolvensi yang tidak selaras boleh menimbulkan ketidaktentuan, meningkatkan kos serta menyebabkan kemerosotan nilai ekonomi,” katanya dalam ucaptama pada Forum Pembaharuan Insolvensi Asia (FAIR) 2026 yang berlangsung di sini hari ini.

Azalina berkata kepastian dari sudut perundangan dan keberkesanan mekanisme penyelesaian masalah kewangan merupakan antara faktor yang dipertimbangkan oleh pelabur sebelum membuat komitmen pelaburan.

Advertisement

“Perkara ini penting kerana pertimbangan pelabur bukan sahaja mengenai sejauh mana perniagaan mudah ditubuhan tetapi turut menilai keberkesanan sesebuah negara menguruskan perniagaan tersebut apabila berhadapan dengan kesulitan,” katanya sambil menyatakan bahawa Malaysia juga berminat untuk meneroka Undang-Undang Seragam UNCITRAL mengenai Insolvensi Kumpulan Perusahaan

Mengulas lanjut mengenai dinamik perdagangan serantau, Azalina menjelaskan mekanisme yang hanya melibatkan sebuah negara tidak mencukupi dalam persekitaran ekonomi serantau yang saling berintegrasi.

“Jika kita menjalankan perniagaan di  ASEAN, kita memerlukan undang-undang insolvensi yang hampir seragam dan bersifat rentas sempadan, supaya apabila kita melabur di sebuah negara dan menjalankan perniagaan di negara lain, kita tidak perlu berasa bimbang apabila perniagaan menghadapi masalah kewangan.

“Malaysia sahaja tidak mampu bertahan, begitu juga Singapura, Vietnam, Bhutan dan negara lain yang turut melihat kepentingan insolvensi rentas sempadan. Oleh itu, kita tidak boleh melaksanakan usaha ini secara bersendirian,” katanya. 

Mengenai isu kebankrapan individu, Azalina turut menekankan kejayaan berterusan Dasar Peluang Kedua - Program Pelepasan Kebankrapan Fast Track 2026  yang dilancarkan pada Februari lepas. Program ini memberi tumpuan kepada empat kumpulan sasaran, iaitu ibu atau bapa tunggal, peminjam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), mangsa penipuan serta pembeli projek perumahan terbengkalai.

"Kita tidak seharusnya menyamakan kegagalan kewangan dengan kegagalan peribadi. Inilah yang dimaksudkan dengan reformasi undang-undang yang berteraskan kepentingan rakyat,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement