MALAYSIA
Akta Majlis Media penanda aras baharu reformasi media negara

Syahredzan Johan menyifatkan Akta Majlis Media 2025 sebagai langkah bersejarah yang mengalih kawalan media daripada campur tangan kerajaan kepada sistem kawalan kendiri yang lebih bebas dan adil.
KUALA LUMPUR: Akta Majlis Media Malaysia 2025 berkuat kuasa hari ini sebagai langkah penting dalam usaha memperkukuh kebebasan media dan melaksanakan reformasi institusi yang tulen.
Menurut Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, pelaksanaan akta tersebut disifatkan sebagai detik bersejarah dalam landskap media tanah air, yang mengalihkan kawalan daripada campur tangan kerajaan kepada satu sistem kawalan kendiri yang lebih bebas dan bertanggungjawab.
“Segala aduan, rungutan atau isu berkaitan laporan media akan diselesaikan melalui satu mekanisme penyelesaian pertikaian yang akan dibangunkan di bawah akta ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Katanya lagi, akta itu dijangka dapat mengurangkan kebergantungan kepada proses undang-undang seperti saman sivil atau pendakwaan jenayah, sekali gus mengurangkan keperluan untuk menggunakan peruntukan undang-undang seperti Akta Komunikasi dan Multimedia terhadap pengamal media dan kandungan atas talian.Syahredzan, yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, turut menegaskan bahawa pelaksanaan akta ini merupakan pelunasan janji manifesto Pakatan Harapan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 menerusi kempen “Kita Boleh”.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa usaha reformasi media perlu diteruskan, termasuk menyemak semula undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara.
“Kerajaan perlu meneliti semula undang-undang seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan agar selari dengan semangat kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Terdahulu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengumumkan bahawa akta ini secara rasmi berkuat kuasa bermula hari ini sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025. Beliau turut memaklumkan bahawa keanggotaan awal Majlis Media telah dimuktamadkan.
Majlis Media akan berfungsi sebagai sebuah badan bebas yang mengawal selia industri media secara kendiri dan memastikan pengamal media berpegang kepada etika kewartawanan profesional.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami