Skip to main content

Malaysia

Akta Ombudsman penting perkukuh keyakinan rakyat - Azalina

Menurut Azalina (foto), mesyuarat jemaah menteri pada 30 Januari lalu telah bersetuju secara prinsip dengan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi kedua-dua cadangan. -Foto fail/Bernama
Azalina (foto) berkata, proses perundingan itu berdepan perbezaan pandangan dalam kalangan beberapa agensi, khususnya berkaitan mekanisme pemantauan sedia ada. -Gambar fail/Bernama

BANGI: Kerajaan menegaskan rundingan berhubung cadangan penggubalan Akta Ombudsman dan Akta Kebebasan Maklumat (FOI) masih diteruskan bagi memperkukuh agenda reformasi institusi serta meningkatkan akauntabiliti pentadbiran negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, proses perundingan itu berdepan perbezaan pandangan dalam kalangan beberapa agensi, khususnya berkaitan mekanisme pemantauan sedia ada.

Menurut beliau, penubuhan Ombudsman bebas dilihat penting bagi menyediakan saluran aduan awam yang telus dan diyakini rakyat, tanpa campur tangan mana-mana pihak.

“Tujuan utama Ombudsman adalah untuk memastikan rakyat mempunyai keyakinan bahawa setiap aduan diambil serius secara bebas dan telus.

"Jika rakyat tidak diberi ruang untuk membuat aduan, bagaimana kerajaan mahu mengetahui kelemahan yang perlu diperbaiki,” katanya kepada pemberita pada Program Town Hall Kerangka Akauntabiliti Madani 2026 di Akademi Perundangan Negara, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Azalina berkata kerajaan turut memperhalusi beberapa isu utama berhubung Rang Undang-Undang pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya Awam, termasuk tahap penglibatan Parlimen dalam proses penggubalan.

Beliau memaklumkan rang undang-undang berkenaan dijangka dimuktamadkan pada 18 Mei ini sebelum dibentangkan pada sidang Parlimen Jun depan.

Menurutnya, pelbagai pandangan masih diteliti bagi memastikan keputusan yang dicapai adalah seimbang dan mengambil kira semua pihak berkepentingan.

Azalina berkata beberapa sesi libat urus telah diadakan bersama pihak berkepentingan termasuk pembangkang, namun terdapat wakil yang tidak dapat hadir atas faktor tertentu.

Langkah penggubalan Akta Ombudsman dan pemisahan kuasa peguam negara merupakan antara agenda utama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dalam memastikan sistem semak dan imbang yang lebih efektif di Malaysia.

 

Must Watch Video