Skip to main content

Malaysia

Akta Pekerja Gig 2025 permulaan perlindungan menyeluruh untuk ekonomi digital – GEM

SINAR HARIAN
Ketua Aktivis GEM Masrizal Mahidin berkata,meskipun pelbagai pihak membangkitkan kebimbangan dan kritikan terhadap akta tersebut, penilaian yang adil seharusnya dibuat dengan memahami skop akta yang lebih luas.

KUALA LUMPUR: Gabungan e-Hailing Malaysia (GEM) menegaskan bahawa Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) merupakan langkah permulaan penting dalam memberikan perlindungan undang-undang kepada komuniti pekerja gig di negara ini.

Ketua Aktivis GEM Masrizal Mahidin berkata,meskipun pelbagai pihak membangkitkan kebimbangan dan kritikan terhadap akta tersebut, penilaian yang adil seharusnya dibuat dengan memahami skop akta yang lebih luas, termasuk sekurang-kurangnya 11 sektor ekonomi gig seperti e-hailing, p-hailing, seni kreatif, jurubahasa bebas, dan pekerjaan digital serta freelance lain.

Advertisement

“Menilai Akta 872 semata-mata dari perspektif Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) adalah terlalu sempit.

"Akta ini memberi pengiktirafan undang-undang yang jelas, mekanisme penyelesaian pertikaian khusus, asas perlindungan sosial tersusun, dan ruang dialog antara pekerja, platform serta kerajaan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Masrizal menambah, Akta 872 berpotensi menjadi “game changer” dalam landskap pekerjaan moden Malaysia, dengan memberi jaminan masa depan pekerja gig yang lebih terjamin, bermaruah dan berdaya tahan, selaras dengan perkembangan ekonomi digital dan keadilan sosial.

GEM menegaskan komitmen mereka untuk berdiri bersama kerajaan dalam memastikan pelaksanaan Akta 872 dapat membina sistem pekerjaan gig yang lebih kukuh, inklusif dan lestari.

Dalam pada itu, GEM turut memuji usaha Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di bawah Kementerian Sumber Manusia yang menganjurkan sesi libat urus bersama pemegang taruh baru-baru ini, menekankan bahawa dialog berterusan dan kritikan konstruktif amat penting bagi penambahbaikan dasar baharu ini.

Selain itu, GEM menyeru semua pihak untuk bersikap terbuka dan konstruktif dalam memberikan maklum balas terhadap pelaksanaan akta ini, agar dasar yang dibangunkan benar-benar memenuhi keperluan pekerja dan platform gig secara seimbang.

Beliau juga menekankan kepentingan pendidikan dan kesedaran dalam kalangan pekerja gig mengenai hak dan tanggungjawab mereka di bawah Akta 872, agar setiap individu dapat memanfaatkan perlindungan yang disediakan sepenuhnya serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi digital negara secara berkesan.

Must Watch Video