MALAYSIA
Akta Perhimpunan Aman: Kembalikan IPCMC, kuat kuasakan pemakaian kamera badan polis - Mahasiswa

Hamdin berkata RUU IPCMC perlu dikembalikan dan pemakaian kamera badan kepada pihak polis perlu dilaksanakan demi keselamatan awam. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Semakan kepada Akta Perhimpunan Aman (Akta 736) tidak wajar terhenti setakat undang-undang itu sahaja.
Ringkasan AI
- Semakan terhadap Akta Perhimpunan Aman tidak wajar terhenti pada aspek undang-undang sahaja, tetapi perlu merangkumi penguatkuasaan termasuk pemakaian kamera badan oleh polis dan pengembalian RUU IPCMC.Penguatkuasaan undang-undang oleh polis mesti mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti memberi penjelasan sewajarnya semasa penahanan, agar hak berhimpun secara aman benar-benar dihormati.Notis lima hari dianggap tidak relevan dan menyekat hak rakyat. Akta ini perlu difahami sebagai alat untuk memudahkan perhimpunan aman, bukan mengawal atau menakutkan rakyat
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Anak Muda pada Jumaat.
Tambah Hamdin, tidak ada keperluan untuk meneruskan syarat memberi notis lima hari sebelum perhimpunan.
Menurutnya, perlu jelas bahawa Akta 736 adalah untuk memudahkan perhimpunan, bukan untuk mengawal rakyat.
Dalam pada itu, wakil Persatuan Pendemokrasian Sosial Malaysia, Goh Yu Xuan pula berpandangan, aspek penguatkuasaan undang-undang oleh polis perlu dipastikan mengikut segala peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Perundangan dalam negara sudah teliti tetapi terdapat kekurangan daripada aspek penguatkuasaan.
“Contohnya, undang-undang sudah nyatakan bahawa polis perlu beri penjelasan sebab seseorang ditahan dan sebab untuk menunjukkan kad pengenalan kepada polis berpakaian preman.
“Kalau penjelasan itu munasabah kita akan ikut. Kita bukan hendak cetus kekecohan dan melawan tanpa sebab. Kalau semua pihak polis ikut undang-undang dan SOP yang sudah ditetapkan, itu kehendak rakyat,” ujarnya.
Pada 1 Julai lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan, Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman, yang memperuntukkan hukuman terhadap penganjur yang gagal memberikan notis lima hari lebih awal kepada polis sebelum mengadakan perhimpunan, adalah tidak berperlembagaan.
Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel lima hakim berkata, Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman adalah tidak berperlembagaan, kerana tidak konsisten dengan Perkara 10(2)(b) yang dibaca bersama Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.
Keputusan itu dibuat susulan cabaran Perlembagaan oleh bekas Setiausaha Agung MUDA Amir Hariri Abd Hadi, yang didakwa pada tahun 2022 kerana gagal memaklumkan kepada polis daerah Dang Wangi lima hari lebih awal sebelum mengadakan perhimpunan di hadapan Kompleks Sogo, di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur berkaitan isu perolehan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS).
Pada hari sama, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerusi satu kenyataan memaklumkan, kementeriannya akan membentangkan pindaan terhadap Akta 736 dalam sidang Parlimen pada Julai ini.
Dewan Rakyat dijadual mula bersidang bagi Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat, Parlimen Ke-15 pada 21 Julai akan datang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami