Aktivis, Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen selepas didakwa menyiarkan imej badut yang disunting menyerupai perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dia didakwa memuat naik imej tersebut ke Instagram miliknya pada Januari lalu.

Mengikut pertuduhan, Fahmi Reza, 39 tahun, didakwa melalui Instagram @kuasasiswa secara salah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang bersifat palsu dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di Bandar Bukit Puchong 2, Puchong, jam 6 petang, 31 Januari lalu.

Sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkan Fahmi Reza dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Jun depan untuk sebutan semula kes.