MERSING: Semua aktiviti selam skuba dan snorkeling di sekitar perairan daerah Mersing di sini, diarahkan dihentikan berkuat kuasa serta-merta.

Pegawai Daerah Mersing, Mohamed Shakib Ali, berkata tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang melanggar arahan ditetapkan itu.

"Dimaklumkan kepada semua pengusaha resort, chalet, pengusaha bot pelancong, bot 'island hopping' dan pusat selam skuba diminta memberhentikan sebarang aktiviti selam skuba atau snorkeling di perairan daerah Mersing berkuat kuasa serta-merta.

"Tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati melanggar arahan yang dikeluarkan. Kesinambungan itu, pihak berkuasa juga akan mengadakan pemantauan," katanya dalam satu notis pemberitahuan yang dikeluarkan hari ini.

Penyelam Hilang | Jurulatih selam warga Norway ditemukan selamat

BACA: Penyelam hilang di Mersing: Apa yang kita ketahui setakat ini

Arahan berkenaan dikeluarkan selepas kejadian empat penyelam warga Eropah hilang semasa melakukan aktiviti latihan selaman skuba di Pulau Tokong Sanggol, Mersing, pada Rabu.

Mangsa dilaporkan terdiri daripada dua beranak iaitu lelaki warga Britain berumur 14 dan 46 tahun, seorang wanita Perancis berumur 18 tahun dan seorang wanita Norway berumur 35 tahun.

Bagaimanapun, wanita Norway, Kristine Grodem, yang juga jurulatih selam, ditemui selamat hari ini dengan usaha mencari dan menyelamat tiga lagi mangsa sedang diteruskan.