MERSING: Empat penyelam warga Eropah dipercayai hilang semasa melakukan aktiviti latihan selaman skuba di Pulau Tokong Sanggol, Mersing, pada 6 April lalu.

Mangsa dilaporkan terdiri daripada dua lelaki warga Britain berumur 14 dan 46 tahun, seorang wanita Perancis berumur 18 tahun dan seorang wanita Norway berumur 35 tahun.

BACA: Tiga faktor boleh gugat peluang temui tiga penyelam warga asing dengan selamat

Berikut apa yang kita tahu setakat ini:

7 April:

Wanita warga Norway, Kristine Grodem, salah seorang daripada empat penyelam yang hilang di Mersing semalam, ditemui selamat hari ini.

Kristine, 35 tahun, dibawa dengan menaiki helikopter ke Stadium Mini Mersing, jam 12.05 tengah hari tadi.

7 April:

Kesemua penyelam mempunyai lesen menyelam dan berpengalaman. Setakat ini, 90 anggota dan pegawai pelbagai agensi, termasuk 30 penyelam dan 18 aset terlibat dalam Op Carilamat.

7 April:

Identiti empat warga asing yang hilang telah dikenal pasti.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, penyelam yang hilang merupakan lelaki warga Britain, Adrian Peter, 46 tahun, dan anaknya Nathan Renze, 14 tahun, warga Belanda.

Dua lagi ialah wanita warga Perancis, Alexia Alexandra, 18 tahun, dan wanita yang juga jurulatih penyelam atau dive master, Kristine Grodem, 35 tahun, dari Norway.

7 April:

Kerajaan Johor akan sentiasa memaklumkan perkembangan kepada pihak kedutaan mengenai operasi Op Carilamat empat penyelam yang hilang di Pulau Tokong Sanggol, Mersing.

Ia melibatkan Kedutaan Britain, Kedutaan Belanda, Kedutaan Norway dan Kedutaan Perancis.

Onn Hafiz berkata, perkembangan semasa mengenai operasi akan disalurkan sepanjang masa, terutama kepada ahli keluarga mangsa.

7 April:

Polis Johor menahan seorang tekong bot yang membawa empat warga asing yang hilang ketika menyelam di Pulau Tokong Sanggol.

Individu berkenaan ditahan kira-kira jam 11.30 malam, selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lelaki berumur dalam lingkungan 20 tahun itu pada mulanya dipanggil bagi memberi keterangan namun kemudiannya ditahan selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine.

6 April:

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata laporan kehilangan penyelam tersebut dibuat oleh tekong bot yang membawa penyelam terbabit.

Susulan itu Op Carilamat telah diaktifkan pada pukul 2.45 petang dengan melibatkan aset daripada Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin dan Jabatan Perikanan Malaysia.

Operasi Carilamat ditangguhkan pada 7.30 malam disebabkan faktor penglihatan yang terhad, dan diteruskan pada 7 pagi hari berikutnya.