"Aku dah bunuh mak"

Sinar Harian
November 12, 2019 10:14 MYT
Suspek menolak mayat ibunya sejauh 50 meter sebelum memaklumkan kepada Samin yang dia telah membunuh ibunya. - Gambar SINAR HARIAN
Suspek berusia 38 tahun mengaku membunuh ibunya, Sefiah Hamid, 62, sewaktu menolak mayat wanita itu yang berada di kerusi roda ke gerai berhampiran rumahnya kira-kira jam 10 pagi tadi.
Saksi, Samin Ahmad Mahmood, 57, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan mengenai perbuatan suspek dan cuba menenangkannya.
Menurut Samin, suspek turut mengaku gagal menghubungi pihak polis sebelum mencampak telefon bimbitnya.
"Masa dia (suspek) tolak kerusi roda saya tanya kenapa dia cakap dah bunuh mak dan call (hubungi) polis tapi tidak dapat.
"Jadi, saya minta supaya dia tenangkan diri dulu dan letak kerusi roda di bawah pokok mempelam serta datang ke kedai untuk bertenang tetapi dia enggan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Samin berkata, dia melihat suspek memegang pisau sambil menolak mayat ibunya yang diletakkan di atas kerusi roda dan mengambil keputusan untuk berada jauh dari suspek.
Bagaimanapun, katanya, orang ramai membantu menutup mayat ibunya dan cuba sekali lagi menenangkan suspek.
"Masa bantu itu ada yang perasan dia masih bawa pisau dan semua orang awam menjauhkan diri bimbang dicederakan," katanya
BACA: Ibu maut ditikam anak sendiri
Samin berkata, pihaknya menghubungi pihak polis selepas merasakan suspek memberi ancaman apabila mencederakan dua lagi orang di situ.
Dalam kejadian itu, Sefiah maut dengan kesan tikaman di bahagian leher kanannya dipercayai ditikam anak lelakinya yang sakit mental.
Suspek dipercayai menikam ibunya menggunakan pisau dapur antara jam 8.30 hingga 10.30 pagi sebelum meletakkan mayat ibunya di atas kerusi roda dan menolak keluar dari rumah sejauh 50 meter.
Dia turut mencederakan dua lagi mangsa iaitu adik perempuannya bersama teman lelakinya yang kebetulan tiba di lokasi kejadian.
#aku dah bunuh mak #ibu maut ditikam anak sendiri #Kuantan #Pahang