Penggunaan alat penjimatan tenaga elektrik yang tidak mempunyai kelulusan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) boleh menjurus kepada punca berlakunya kebakaran.

Pengurus Besar (Bahagian Pembahagian) Tenaga Nasional Berhad (TNB) negeri Kedah, Ismail Lathifi Teh berkata kebanyakan alat penjimatan tenaga elektrik yang tiada kelulusan Sirim ini berkualiti rendah.

"Ada banyak alat penjimatan tenaga elektrik yang dijual di pasaran namun kebanyakannya tidak mempunyai kelulusan Sirim," katanya kepada pemberita pada Program TNB Bersama Komuniti Mukim Sok di Gulau, dekat sini, semalam.

Program tersebut disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, Datuk Mohd Tajuddin Abdullah.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan sebilangan individu yang menawarkan pemasangan alat penjimatan tenaga elektrik sewaktu melakukan kerja-kerja pendawaian di rumah pengguna.

Ismail Lathifi berkata, sekiranya TNB mengesan terdapat pengguna yang menggunakan alat penjimatan tenaga itu, laporan boleh dibuat kepada Suruhanjaya Tenaga untuk tindakan selanjutnya.

"Alat terbabit yang tidak mempunyai kelulusan Sirim boleh mengundang bahaya, justeru pengguna diminta berhati-hati dan teliti mengenai perkara ini bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini," katanya.

Mohd Tajuddin dalam ucapannya pula berkata, seramai 11,000 pengguna di negeri ini menikmati rebat penggunaan elektrik bagi penggunaan RM20 ke bawah, sepanjang tahun lalu.

"Kos keseluruhan yang dianggarkan berjumlah RM2.4 juta itu, ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Pusat.

"Beberapa kemudahan lain juga sedang dalam proses pelaksanaan, antaranya fasa kelapan pemasangan 7,500 batang Lampu Jalan Kampung (LJK) biasa dan 600 lampu LED melibatkan kampung-kampung di 15 kawasan Parlimen di seluruh negeri," katanya. -- Bernama