DREBAR
Alfa Romeo persembahkan model Giulia terbaharu

Alfa Romeo menghasilkan model ini untuk menepati kehendak peminat memandu. Dan bukti yang paling jelas adalah melalui pacuan roda belakang yang digunakan Giulia baharu ini, pada masa lebih banyak model sekarang menggunakan pacuan roda hadapan.
Tumpuan juga diberikan kepada casis; ia lebih ringan kerana penggunaan gentian karbon untuk komponen-komponen seperti bonet, bumbung dan juga shaf pendorong (propeller shaft). Selain itu, aluminium pula adalah bahan untuk membuat blok enjin, brek, suspensi, pintu dan spoiler. Cakera brek adalah jenis gentian karbon.

Segala usaha ini kemudian dipadankan dengan pembahagian berat 50:50 diantara kedua-dua gandar untuk imbangan sempurna yang kerap digunakan untuk jentera perlumbaan.
Untuk enjin pula, hanya satu pilihan diberikan pada waktu ini: unit petrol enam silinder 3.0-liter dengan pengecas turbo yang menghasilkan 510hp. Enjin ini mempunyai pengaruh Ferrari menerusi jurutera-jurutera yang terlibat di dalam rekaannya. Ia berkemampuan untuk melancar Giulia ini dari keadaan rehat ke 100km/j dalam masa 3.9 saat. Juga menarik adalah penggunaan ciri cylinder deactivation untuk memberi kecekapan pembakaran petrol lebih baik. (Sayangnya, tidak pula disebut tentang apa-apa tentang kotak gear yang ada)
Pengendalian lebi lincah dibantu dengan ‘differential’ pada gandar belakang untuk pembahagian tork yang tepat kepada kedua-dua roda belakang. Ini ditambah pula dengan sistem brek bersepadu (Integrated Brake System) iaitu sistem elektromekanikal yang menggabungkan kawalan stabiliti dan servo brek bagi memberi tindak balas pantas.
‘Splitter’ aero aktif turut memberi daya tekan lebih banyak pada kelajuan tinggi; ciri ini dikawal oleh ‘Chassis Domain Control’. Fungsi DNA yang mengawal sifat dinamik Giulia ini memberi pilihan tiga mod pemanduan: Dynamic, Natural, Advanced Efficient dan Racing.

Perlukah kita bercakap panjang mengenai fizikal Giulia ini? Yang tidak dapat disangkal adalah ia kelihatan cukup menawan, sarat dengan identiti Alfa Romeo – lebih-lebih lagi dengan kekal menggunakan gril hadapan yang paling unik di dalam alam automotif. Kereta pelancaran datang dengan kemasan ‘Quadrifoglio’ untuk menimbulkan lagi imej sporty model ini.
Turut perlu disebut adalah Giulia baharu ini dikemaskan dengan bonet panjang dan ‘overhang’ yang pendek pada kedua-dua hujung kereta. Ini antara penyumbang kepada jarak ‘wheelbase’, dikatakan yang paling panjang di dalam kategorinya.

Sehingga kini tidak ada pengedar bagi Alfa Romeo di Malaysia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami