PETALING JAYA: Penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad  Yasin Sulaiman merasakan dirinya semakin sihat sejak menerima rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

"Alhamdulillah, kalau dekat penjara dulu saya sakit. Sekarang duduk di hospital makin sihat, malah ubat, makan dan tidur semuanya cukup," katanya ketika ditemui di luar mahkamah selepas pengurusan kes bagi lantikan peguam.

Dalam pada itu, Muhammad  Yasin, 49, turut berharap kes rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasannya berhubung kes dadah di Mahkamah Tinggi, di sini pada Jumaat berakhir dengan cepat.

"Saya harap kes (rayuan) berjalan lancar dan pantas supaya berakhir dengan cepat. Prosiding di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya sudah selesai.

"Cuma dibawa ke Mahkamah Tinggi (kerana pendakwaan membuat rayuan), saya ikut prosedur," jelasnya.

Muhammad Yasin menyatakan persetujuannya melantik semula peguam Ariff Azami yang mewakilinya dalam prosiding di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya sebelum ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi menetapkan 11 Jun ini untuk pengurusan kes seterusnya berhubung rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan penyanyi itu oleh Mahkamah Sesyen, tahun lalu.

Pada 29 November lalu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepas dan membebaskan penyanyi dan komposer berusia 49 tahun itu atas tiga tuduhan kes dadah.

Bagaimanapun, Hakim Faiz Dziyauddin, mengarahkan penyanyi itu ditempatkan di bawah jagaan selamat di Hospital Bahagia Ulu Kinta mengikut Seksyen 348(1) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).

Muhammad Yasin akan ditempatkan di hospital berkenaan selama tempoh mengikut perkenan Sultan Selangor di bawah Seksyen 348(2) KTJ.

Muhammad Yasin didakwa memberikan dirinya dadah di pejabat narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada jam 11.05 malam, 24 Mac 2022.

Pendakwaan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Penyanyi itu juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah di kediamannya di Persiaran Surian, Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara, jam 5.30 petang, pada tarikh sama.

Pertuduhan memiliki dadah mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh disebat tidak kurang 10 kali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan menanam pokok kanabis, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) ADB 1952 dan boleh dipenjara seumur hidup serta tidak kurang enam sebatan jika sabit kesalahan.