Aliran trafik di lebuh raya utama negara malam ini dilaporkan bergerak perlahan berikutan orang ramai mula pulang ke ibu kota selepas cuti Tahun Baharu Cina.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Plus Expressways Bhd melaporkan kenderaan bergerak perlahan sejak 8.30 malam ini di kedua-dua arah Bukit Tambun-Juru, serta dari kawasan Rehat dan Rawat Sungai Perak ke terowong Menora, dan dariTapah ke Bidor.

Beliau berkata terdapat kemalangan kecil di KM 124 arah selatan Bertam ke Sungai Dua. Walaupun ia tidak melibatkan penutupan lorong, trafik didapati bergerak perlahan.

Katanya, di bahagian selatan, trafik turut dilaporkan sesak dari Senawang menuju ke kawasan Rehat dan Rawat Seremban.


Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaporkan aliran trafik bergerak perlahan dari Seremban ke Nilai, Ayer Hitam ke Machap dan Machap ke Senai Utara.

Menurutnya, di bahagian utara, aliran trafik sesak dari Kuala Kangsar ke Jelapang, Bukit Merah ke Bandar Baru, Bukit Tambun menuju ke Juru dan di plaza tol Juru menghala ke utara.

Kesesakan juga dilaporkan berlaku di kedua-dua arah antara Johor Baharu dan Singapura.

Sementara itu, di Lebuh Raya KL-Karak, trafik dilaporkan perlahan dari Plaza Tol Bentong ke Bukit Tinggi.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman twitter di
www.twitter.com/llminfotrafik.