KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan kembali lancar malam ini.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan aliran trafik di Plaza Tol Jalan Duta (arah utara), Plaza Tol Sungai Besi (arah selatan) dan Plaza Tol Gombak (arah Pantai Timur) terkawal.

"Aliran trafik di bahagian utara dan timur masih lagi lancar. Di Lebuhraya KL-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT) 1 dan LPT2 lancar setakat ini.

"Bagaimanapun, aliran trafik dari Slim River menghala ke Terowong Menora, Perak sedikit perlahan di kawasan mendaki," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, akaun rasmi X PLUS Trafik memaklumkan aliran trafik bergerak lancar namun terdapat kemalangan di Kilometer (KM) 38.1 arah selatan dari Sedenak ke Kulai mengakibatkan trafik perlahan dan tiada lorong terhalang.

Pada 4 petang tadi, aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan bergerak perlahan berikutan pergerakan orang ramai sempena cuti panjang menjelang perayaanTahun Baharu Cina Sabtu ini.

--BERNAMA