MALAYSIA

Allahyarham Irwan seorang pemikir seni - Sabri Yunus

Madiha Abdullah 12/12/2025 | 13:00 MYT
Sabri (kiri) sifatkan Allahyarham Irwan sebagai pemikir seni, manakala kakak Allahyarham, Salwani Muhammad Zain mengenangkan adiknya sebagai insan berkeperibadian mulia. - Astro AWANI
PUCHONG: Pemergian Pengasas Seni Malaya yang juga bekas wartawan kanan Astro AWANI, Irwan Muhammad Zain, 52, bukan sahaja dirasai keluarga dan sahabat handai, tetapi juga kehilangan besar untuk industri seni tanah air.

Rakan baik Allahyarham, pelakon dan pengarah, Sabri Yunus menyifatkan Allahyarham sebagai seniman dan pemikir yang memberi nilai kepada setiap perbincangan dan hasil karya.

Menurut Sabri, pengalaman luas Irwan sebagai wartawan menjadikan analisis dan pandangannya terhadap seni sangat matang, malah peralihan Irwan daripada dunia kewartawanan ke platform Seni Malaya dilihat sebagai detik penting yang menyerlahkan jiwa seninya.

“Dia pendiam, tetapi isu yang dia bangkitkan selalu menarik. Dia memahami semua perkara yang dibincangkan. Kawan-kawan tahu dia bijak walaupun jarang bersuara.

"Selepas berhenti kerja sebagai wartawan Astro AWANI, dia lebih fokus pada seni sehingga tertubuhnya Seni Malaya. Dari situ kita nampak jiwa dia, lebih mantap, lebih jelas. Dia betul-betul berada di tempat yang tepat,” katanya ketika ditemui selepas selesai upacara pengebumian, pada Jumaat.

Sabri turut berkongsi Irwan memiliki rutin menghantar artikel Seni Malaya kepadanya setiap pagi menerusi WhatsApp, satu komitmen yang dilakukan Allahyarham sehinggalah pagi sebelum beliau meninggal dunia.

Sabri berkata kali terakhir mereka berjumpa ialah pada minggu lalu di Pesta Buku Selangor. Ketika itu Irwan ada menyebut dirinya kurang sihat, namun hanya sepintas lalu.

“Kami berbual dan dia ada cakap rasa tak berapa sihat, tapi sekali lalu saja, jadi saya pun tak ambil serius,” katanya.

Allahyarham Irwan disahkan meninggal dunia pada petang Khamis dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Pulau Meranti, pada Jumaat.


Sementara itu, kakak Allahyarham, Salwani Muhammad Zain, 62, mengenang adiknya sebagai seorang yang pendiam, sangat baik dan tidak pernah menyusahkan sesiapa.

“Arwah adik bongsu yang menjadi kesayangan keluarga. Kami jarang bertemu tetapi sentiasa berhubung melalui telefon.

"Sebagai kakak, saya kadangkala iri hati juga dengan keperibadian dia yang sangat mulia. Pendiam, lemah lembut dan tak pernah menyakitkan hati sesiapa," katanya sebak.

Menurut Salwani, Allahyarham tidak mempunyai penyakit serius, namun beberapa hari sebelum pemergiannya, beliau mengalami batuk-batuk dan sesak dada. Pemeriksaan doktor bagaimanapun tidak menunjukkan masalah yang membimbangkan.

Malah pada pagi Khamis, Irwan masih menjalankan rutin harian seperti biasa termasuk membeli makanan untuk anak-anak.

“Tengah hari dia minta isterinya buatkan air halia. Ketika isterinya sedang buat air, dia dengar arwah tarik nafas kuat. Masuk ke bilik, nampak arwah duduk atas katil seperti nak jatuh,” cerita Salwani.

Irwan kemudian rebah dan isterinya melakukan CPR sementara menunggu ambulans, namun beliau disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

Allahyarham Irwan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Pulau Meranti, Puchong, pada Jumaat.

Allahyarham berkhidmat sebagai wartawan bersama Astro AWANI selama 15 tahun sebelum meletak jawatan pada tahun lalu.







#Irwan Muhammad Zain #meninggal dunia #Astro Awani #Seni Malaya