MALAYSIA
Along Cham berdepan tiga kes dadah, lantik peguam baharu

Along Cham (kanan) bersama Zaleha di Mahkamah Majistret Sepang pada Isnin, bagi menghadapi tiga kes dadah.
SEPANG: Pelawak, Along Cham yang berdepan tiga kes dadah iaitu dua kes memiliki dan satu kes memasukkan kanabis dalam badan telah melantik peguam baharu pada Isnin.
Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, berkata, perkara itu telah dinyatakan pada prosiding terdahulu.
Bagaimanapun, pelakon berkenaan tidak mendedahkan alasan secara khusus, berhubung keputusan terbabit.
Dia berkata, peguam baharu yang akan mengendalikan kesnya ialah Zaleha Al-Hayat.“Sebelum ini saya ada maklum mengenai pelantikan peguam baharu, ia merupakan persetujuan keluarga.
“Bagi kes sebegini ia tidak salah pun sebab kita mahu cari jalan yang terbaik, tiada masalah pun,” katanya yang ditemani ibu, Siti Habsah Kadir, 64, selepas prosiding di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin.
Bekas penyampai radio yang memakai baju kemeja berkot hitam itu berkata, dia tidak lagi meneruskan khidmat peguam terdahulu sejak Februari lalu, sementara seorang lagi peguam, Syed Yusuf Syed Zaid merupakan adik iparnya.
Susulan itu dia memohon semua pihak mendoakan urusannya berjalan lancar.
Sebelum ini, pelakon filem 'Bro, Nampak Motor Gua?' itu diwakili peguam, Mohd Fadly Hashim kemudian beralih kepada peguam, Kamal Hisham Jaafar, Muhammad Nor Tamrin dan Syed Yusuf.
Sementara itu, semasa prosiding di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan, pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Sutri Patang berkata, terdapat pindaan terhadap pertuduhan ketiga dihadapi bekas peserta program realiti berkenaan.
Menurutnya, ia membabitkan jenis dadah iaitu daripada 'tetrahydrocannibol' (THC) kepada ‘11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid'.
“Saya mohon pertuduhan berkenaan dibacakan semula kepada tertuduh,” katanya.
Mendengar perkara itu, tertuduh mengulangi pendirian sama iaitu tidak bersalah atas pertuduhan pindaan terbabit.
Majistret, Muhammad Bukhori kemudiannya menetapkan 24 April ini untuk sebutan semula kes.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, dia didakwa memiliki dadah berbahaya jenis kanabis seberat 1.49 gram, di sebuah rumah di Cyberjaya di sini, pada jam 3.10 petang, 14 Disember tahun lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, pelawak didakwa ada dalam milikannya dadah berbahaya jenis sama seberat 49.61 gram di lokasi, masa dan tarikh serupa.
Dia dituduh mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dihukum 39A(1) akta sama yang membawa hukuman penjara antara dua hingga lima tahun dan sebatan tidak kurang tiga tetapi tidak lebih sembilan kali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pindaan ketiga, dia didakwa memasukkan dadah berbahaya jenis ‘11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid' ke dalam badan, di lokasi sama, pada jam 10 malam, tarikh sama, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang dibaca bersama Seksyen 38B akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun dan dikenakan pengawasan tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih tiga tahun. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami