KUALA LUMPUR: Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR) telah mencapai persefahaman dengan Kesas Holdings Bhd (Kesas), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Holdings Sdn Bhd (Sprint) dan Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd (Litrak) berkenaan tuntutan waranti daripada ALR, menurut Gamuda Bhd.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, Gamuda berkata Kesas telah bersetuju untuk menerima tuntutan ALR berkenaan fi tinjauan dan penggantian kenderaan berjumlah RM1.25 juta.

Berhubung tuntutan ALR berkaitan tanah, menurutnya Kesas telah bersetuju untuk bersama-sama dengan Gamuda bagi menyelesaikan perkara itu dengan kerajaan di bawah terma perjanjian konsesi.

Sementara menunggu penyelesaian tersebut, ALR akan mengekalkan RM960,000 di samping bersetuju untuk mengetepikan sebarang faedah yang perlu dibayar oleh ALR terhadap jumlah itu.

Sementara itu, Sprint telah bersetuju untuk menerima semua tuntutan daripada ALR berjumlah RM2.02 juta membabitkan fi tinjauan akhir bagi warta hak lalu-lalang, penggantian kenderaan polis peronda lebuh raya dan menambah baik laluan RFID, katanya.

Litrak pula telah bersetuju menerima tuntutan daripada ALR berkenaan penggantian kenderaan polis peronda lebuh raya dan penambahbaikan/pemasangan laluan RFID bernilai RM1.65 juta.

"Berhubung tuntutan ALR terhadap premium tanah di bawah Notis 5A Kanun Tanah Negara, Litrak dan ALR telah bersetuju untuk bersama-sama Gamuda bagi menyelesaikan perkara itu di bawah terma perjanjian konsesi.

"Sementara menunggu penyelesaian itu, ALR akan mengekalkan RM8.41 juta. Litrak telah bersetuju untuk mengetepikan sebarang faedah yang perlu dibayar oleh ALR terhadap jumlah terkumpul," katanya.

-- BERNAMA