SARA 2025: Semakan Kelayakan Dibuka – RM100 Dikredit Terus ke MyKad
MALAYSIA

Alumni RPSian bantu kesihatan mental pelajar elak buli

Sinar Harian 21/08/2025 | 00:05 MYT
Dr Rusnah (tiga, kanan) mengalu-alukan bekas pelajar SMK Raja Perempuan Ipoh untuk mendaftar sebagai ahli Alumni RPSian. - Foto Sinar Harian
IPOH: Persatuan Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Perempuan, Ipoh (Alumni RPSian) komited menyumbang semula kepada alma mater dengan memberi fokus kepada kesihatan mental pelajar bagi mengelakkan isu buli.

Presidennya, Dr Rusnah Idrus berkata, usaha memperkasa kesihatan mental dan semangat persaudaraan dalam kalangan pelajar sangat penting bagi mengelakkan budaya buli daripada berlaku.

Menurutnya, sejak dari awal penubuhan, SMK Raja Perempuan Ipoh amat mementingkan soal adab dan pelajarnya sangat dikenali dengan sopan santun serta beradap.

"Satu yang saya dapat daripada sekolah RPS ini ialah sisterhood. Sisterhood kita sangat kuat yang lebih tua dihormati, yang muda itu kita memang sayangi.

“Jika aspek ini diperkasakan, pelajar akan lebih menghormati antara satu sama lain. Hubungan erat antara senior dan junior akan terbina dan budaya buli dapat dielakkan,” katanya kepada pemberita ketika sidang media di Restoran Mali Sate dan Such di sini pada Selasa.

Dr Rusnah berkata, program motivasi, perkongsian kerjaya dan sokongan emosi juga dianjurkan bersama pelajar RPS sebagai usaha membina jati diri selain mengeratkan hubungan alumni dengan generasi baharu.

Jelasnya, persatuan yang ditubuhkan pada 2020 itu turut berperanan sebagai jambatan menghubungkan bekas pelajar dengan generasi baharu melalui pelbagai program motivasi, kerjaya dan kebajikan.

Sehubungan itu, Alumni RPSian bakal menganjurkan perjumpaan semula bekas pelajar menerusi program Reunion Hi-Tea ‘Sirih Pulang ke Gagang’, di Hotel Casuarina@Meru di sini pada 6 September depan.

Katanya, sambutan ulang tahun ke-75 sekolah berkenaan tahun ini dijangka lebih meriah dengan penglibatan bekas pelajar dari pelbagai generasi serta kehadiran beberapa bekas pengetua.

Jelasnya, jualan tiket masih dibuka dan bekas pelajar yang berminat boleh berhubung dengan persatuan melalui kumpulan WhatsApp sedia ada atau melalui Facebook persatuan.

“Walaupun baru lima tahun ditubuhkan secara rasmi, Alumni RPSian berhasrat memperkukuh peranan dengan mengumpulkan lebih ramai bekas pelajar untuk bersama menyumbang kembali kepada sekolah.

“Kami mahu memastikan nilai yang diterapkan sejak dahulu seperti disiplin, kebersihan dan adab terus diwarisi oleh generasi kini,” jelasnya.

Alumni RPSian kini menetapkan yuran keahlian RM30 setahun atau RM250 seumur hidup bagi menggalakkan lebih ramai bekas pelajar mendaftar dan menggerakkan program kebajikan serta pembangunan sekolah. - Sinar Harian




#bekas pelajar #kesihatan mental #Alumni RPSian #SMK Raja Perempuan Ipoh #buli