Ringkasan AI
- MAIPk menggesa amalan berzanji dan marhaban dijadikan pengisian tetap dalam program rasmi serta institusi pendidikan untuk memartabatkan warisan budaya Melayu Islam.
- Langkah ini penting agar seni berzanji dan marhaban tidak dilupakan generasi muda, melalui kerjasama institusi agama, pendidikan dan agensi kerajaan.
- Pertandingan pidato, penulisan esei serta penghayatan seni persilatan dan adat tradisi lain turut dicadangkan untuk memperkukuh warisan Melayu Islam.
IPOH: Amalan berzanji dan marhaban wajar dijadikan antara pengisian dalam setiap program bagi menghidupkan kembali warisan budaya Melayu Islam dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata usaha memartabatkan seni warisan itu tidak seharusnya terhad kepada pertandingan atau program tertentu, sebaliknya perlu dijadikan amalan berterusan dalam majlis rasmi kerajaan dan institusi pendidikan.
Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan seni berzanji dan marhaban tidak terus terpinggir sehingga akhirnya dilupakan oleh generasi akan datang.
“Kalau kita tidak menjaga budaya Melayu ini, ia akhirnya akan hilang ditelan zaman. Sebab itu, kita perlu menghidupkannya semula melalui kerjasama institusi agama, jabatan pendidikan dan agensi kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis penutup Pertandingan Berzanji dan Marhaban Sekolah Menengah Peringkat Negeri Perak 2026 di Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Meru Raya di sini pada Khamis.
Turut hadir Pengarah Jabatan Agama Islam Perak Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim dan Pengarah Pendidikan Negeri Perak Zulkafli Mohamed Mokhtar.
Mohd Annuar berkata amalan berzanji dan marhaban boleh disemarakkan melalui persembahan dalam majlis rasmi, sambutan peringkat jabatan, program keagamaan serta acara yang dianjurkan oleh agensi kerajaan.
Menurut beliau, pendekatan itu bukan sahaja memberi ruang kepada generasi muda mengenali seni warisan berkenaan, malah membudayakan penghayatan tradisi Melayu Islam dalam kehidupan masyarakat.
Mohd Annuar turut mencadangkan supaya pertandingan pidato dan penulisan esei bertemakan sejarah serta peranan berzanji dan marhaban dianjurkan sempena sambutan Maulidur Rasul dan Maal Hijrah.
“Apabila pelajar menyertai pertandingan menulis esei, mereka akan membuat penyelidikan dan guru juga boleh membantu memberikan bimbingan. Secara tidak langsung, mereka akan memperoleh ilmu mengenai warisan ini,” katanya.
Beliau berkata usaha menghidupkan kembali warisan Melayu juga perlu diperluas kepada seni persilatan dan adat tradisi lain, termasuk amalan pemberian bunga telur dalam majlis perkahwinan.
Sehubungan dengan itu, beliau berharap kerjasama antara MAIPk, Jabatan Agama Islam Perak, Jabatan Pendidikan Negeri Perak serta agensi berkaitan dapat diperkukuh bagi memastikan warisan budaya Melayu Islam terus diamalkan dan diwarisi generasi muda.
-- BERNAMA