KUALA LUMPUR: Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi memaklumkan amalan harian dan ibadah secara normal sudah mula dibenarkan secara beransur-ansur di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Perkongsian video di Twitter oleh jabatan berkenaan melalui Bahagian Pengurusan Masjid Nabawi menyatakan keputusan turut diambil untuk menyediakan semula tong air Zamzam bermula Selasa.

Langkah itu diambil selepas Ketua Pengarah Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Sheikh Dr. Abdul Rahman Al-Sudais berpuas hati dengan tahap vaksinasi penduduk Mekah dan Madinah serta pematuhan jemaah terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Dalam video berkenaan, pekerja dilihat mengedarkan sebanyak 600 tong dengan kapasti keseluruhan 30,000  tan air zamzam di seluruh Masjid Nabawi, Madinah.

Penyediaan tong air zamzam sebelum ini dihentikan berikutan kebimbangan penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan jemaah haji dan umrah di Masjidil Haram serta Masjid Nabawi dan digantikan dengan penggunaan robot pintar untuk mengedarkan air zamzam tanpa melibatkan sebarang sentuhan.

Kementerian Kesihatan Arab Saudi pada Selasa mengumumkan kes jangkitan harian COVID-19 di negara berkenaan mencatatkan dua angka selama tiga hari berturut-turut.

Jabatan itu turut menempatkan semula mushaf al-Quran, membenarkan pengajian dan majlis ilmu diadakan secara bersemuka, mengurangkan penjarakan fizikal untuk menambah kapasiti solat berjemaah dan membenarkan kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas hadir ke Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Minggu lalu jabatan itu mengumumkan kapasiti jemaah umrah dinaikkan kepada 70,000 orang sehari.

Jabatan itu menegaskan akan sentiasa bersedia untuk memberikan perkhidmatan terbaik daripada segi kebersihan dan sanitasi demi memastikan kebajikan serta keselamatan jemaah terpelihara.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi baru-baru ini mengumumkan pemberian 6,000 visa umrah kepada warga asing setakat bulan Muharram 1443 Hijrah (Ogos 2021) dan menjangkakan kedatangan lebih ramai jemaah umrah dari luar Arab Saudi bermula Rabiul Awwal 1443 Hijrah (Oktober 2021). - BERNAMA