Amalan terbaik Prosedur Operasi Standard (SOP) mampu menghalang penularan wabak COVID-19 di tapak pembinaan dan dapat membolehkan projek-projek pembinaan diteruskan bagi memangkin pembangunan ekonomi negara.

Menurut Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), ini penting memandangkan sumbangan besar sektor pembinaan yang mencatatkan purata nilai projek sebanyak RM140 billion setahun.

Ia juga mempunyai nilai gandaan sebanyak dua kali. Ini bermakna, setiap pelaburan RM1 di dalam sektor pembinaan akan membuahkan nilai RM2 atau lebih di dalam 120 aktiviti ekonomi yang berkaitan.

"Justeru, penggiat industri bertanggungjawab memastikan semua SOP berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipatuhi bagi menjamin keselamatan pekerja dan mengelak penularan jangkitan COVID-19 di tapak pembinaan serta kawasan persekitarannya," tegas CIDB dalam satu catatan di laman Facebook CIDB Malaysia.

CIDB berkata lawatan ke Tapak Projek Pembangunan Bercampur TwentyFive Seven oleh Gamuda Land di Kota Kemuning pada baru-baru ini, menunjukkan pemaju projek, serta kontraktor mempunyai keupayaan untuk mematuhi SOP, dan melaksanakan projek mengikuti norma baharu.

Lawatan diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan dan Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir. Ahmad 'Asri Bin Abdul Hamid.

Antara inisiatif yang diambil oleh kontraktor Gamuda Engineering adalah membangunkan aplikasi khas bagi merekodkan kehadiran serta status kesihatan pekerja dan mengesan pergerakan pekerja supaya tidak melepasi kawasan projek semasa waktu bekerja.

Selain itu, kontraktor tersebut juga mengasingkan tempat rehat bagi pekerja mengikut bidang di aras berlainan di tapak pembinaan untuk memastikan penjarakan sosial pada waktu rehat.

Antara SOP yang perlu dipatuhi oleh setiap projek pembinaan termasuk, memastikan semua pekerja warga asing menjalani ujian saringan COVID-19 dan disahkan bebas dari jangkitan sebelum memulakan kerja.

Dari 20 April sehingga 2 Jun 2020, CIDB telah memeriksa sebanyak 6,363 tapak pembinaan seluruh negara.

Dari jumlah tersebut, sebanyak 1,398 (22 peratus) telah mula beroperasi, manakala 4,965 (78 peratus) belum beroperasi.

Daripada sejumlah 1,398 tapak yang telah beroperasi, sebanyak 1,118 (80 peratus) didapati mematuhi SOP, sementara 272 (19 peratus) didapati tidak patuh dan diberi amaran, dan lapan (satu peratus) tapak pembinaan telah diarah tutup.