KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah diarah mengaktifkan dan meningkatkan kesiapsiagaan susulan amaran hujan lebat berpanjangan yang dikeluarkan Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia).

Arahan itu dikeluarkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) yang turut melibatkan beberapa agensi-agensi berkepentingan yang lain.

Nadma dalam satu kenyataan berkata, pihak jawatankuasa berkenaan juga diminta memastikan setiap setiap pusat pemindahan dilengkapi keperluan asas dan aset pengoperasian yang mencukupi.

"Penduduk terutama di kawasan yang dijangka banjir diminta berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa. Maklumat dan amaran semasa boleh didapati di laman web publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook Public Info Banjir dan Twitter JPS Info Banjir," kenyataan itu menyebut.

MetMalaysia dalam kemas kini terbaharu pada pukul 1.25 tengah hari mengeluarkan amaran peringkat merah di Jeli (Kelantan), Kemaman (Terengganu) dan Kuantan (Pahang).

Amaran peringkat jingga pula dikeluarkan bagi Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang (Kelantan), Besut, Hulu Terengganu dan Dungun (Terengganu) serta Jerantut, Maran dan Pekan (Pahang).

Sehingga jam 2 petang, 30 Disember 2021, lima buah negeri masih terkesan dengan bencana banjir.

Sebanyak 12 daerah di negeri Kelantan, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor masih terjejas. Seramai 6,867 orang mangsa daripada 1,921 Ketua Isi Rumah (KIR) direkodkan masih berlindung di 58 pusat pemindahan.

Sehingga jam 2 petang ini, operasi banjir seluruh negara melibatkan keanggotaan 34,721 orang anggota agensi responder menggunakan sejumlah 1,737 gabungan aset pelbagai agensi sedang beroperasi.