Penyokong gerakan Sarawak for Sarawakians (S4S) tidak menghiraukan amaran pihak berkuasa apabila meneruskan perarakan di sekitar bandar raya Kuching hari ini bagi memperingati ulang tahun kemerdekaan Sarawak daripada penjajah British.

Sarawak mencapai kemerdekaan pada 22 Julai 1963 sebelum tiga minggu kemudian membentuk persekutuan Malaysia bersama-sama Malaya, Sabah dan Singapura.

Perarakan yang berlangsung aman itu disertai oleh lebih kurang 2,000 orang yang mula berhimpun di Padang Song Kheng Hai seawal pukul 7.30 pagi.

Ia berlangsung serentak dengan acara rasmi sambutan ulang tahun kemerdekaan yang dianjurkan oleh kerajaan negeri yang dihadiri oleh Tuan Yang Terutama Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem serta pembesar-pembesar negeri.

Tinjauan Astro AWANI mendapati keadaan tenang tanpa sebarang kekacauan. Anggota polis pada masa sama siap sedia menjaga keselamatan dan mengawal lalu lintas yang agak terjejas.

Dari Padang Song Kheng Hai, mereka berarak menuju ke Padang Merdeka sambil mengibarkan bendera asal Sarawak yang dipakai antara 1963 hingga 1973.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan pada Selasa memberi amaran kepada penganjurnya supaya membatalkan acara itu "atas sebab-sebab keselamatan dan kemudaratan awam."

"Pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah undang-undang sedia ada terhadap penganjur dan ahli-ahli jawatankuasanya demi menjaga kesejahteraan rakyat dan kedaulatan negara," katanya.

Menurut Khalid, pihak polis mendapat maklumat ada pihak merancang mahu menggunakan perhimpunan itu bagi membangkitkan sentimen rakyat Sarawak untuk keluar daripada Malaysia.

Polis Sarawak dalam satu kenyataan minggu lalu mengambil maklum mengenai perhimpunan yang dirancang itu tetapi melarang peserta perhimpunan daripada berarak bagi mengelak gangguan lalu lintas.

[LAPORAN LANJUT MENYUSUL]