KUALA LUMPUR:Adalah amat mustahil negara dapat membanteras 100 peratus amalan rasuah kerana ia melibatkan manusia, kata Prof Madya Dr Mohamed Azam Adil.

Bagaimanapun jelas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS), kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan pengurangan jumlah rasuah seperti edaran pekeliling kepada penjawat awam mengenai polisi hadiah.

"Dalam hal ini (Indeks Persepsi Rasuah) kalau dilihat kepada negara Islam, Malaysia ada di tangga yang agak ke belakang berbanding UAE yang mempunyai kedudukan yang lebih baik, mereka di kedudukan 21, Qatar di tangga 30 dan Arab Saudi di tangga ke 52.

"Jadi semakin kita melihat kedudukan ini, kita lihat masalah ekonomi itu perlu ditangani," katanya semasa sidang video pada Sabtu.

BACA: Semak gaji penjawat awam 5 tahun sekali

BACA: Indeks rasuah: Malaysia berisiko jadi "fail state" jika masyarakat tidak mahu berubah

BACA: 
Kedudukan negara dalam CPI jatuh: Ini antara kes rasuah di Malaysia pada tahun 2020

Tahap rasuah pengaruhi pemulihan ekonomi sesebuah negara - Dr Mohamed Azam

Sebelum ini, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan mengumumkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi tahun 2020 jatuh ke tangga 57 daripada 180 negara berbanding tangga 51 pada 2019.

Katanya, Malaysia mencatatkan skor 51 daripada 100, berbanding 53, pada tahun sebelumnya.

Dalam pada itu kata Dr Mohamed Azam, jumlah pelaburan asing yang masuk ke dalam negara pada 2020 adalah yang paling rendah iaitu dalam lingkungan kurang RM10.1 bilion (AS$2.5 bilion).

Tegasnya, angka itu jauh ketinggalan daripada negara-negara ASEAN lain.

Sebelum ini, bekas Presiden Institut Integriti Malaysia, Datuk Dr. Mohd Tap Salleh berkata, Malaysia berdepan risiko menjadi sebuah negara yang gagal jika masyarakat tidak mahu berubah dan memperbetulkan tahap rasuah.

Tegasnya, perkara itu boleh berlaku apabila masih ada pihak yang masih bersikap mementingkan diri sendiri.

Katanya, pembaharuan kepada institusi (institutional reforms) tidak mampu dilaksanakan jika rakyat tidak memberi penekanan kepada kerajaan.

Singapura menjadi satu-satunya negara di Asia yang berjaya berada di kedudukan ke-10 terbaik dunia.