KUALA LUMPUR: AmBank Group sekali lagi menganjurkan AmBank Bazar Ramadan, inisiatif tahunan yang menghimpunkan peniaga tempatan serta menawarkan pelbagai pilihan juadah berbuka puasa di beberapa lokasi seluruh negara.
Penganjuran tahun ini terus menjadi platform penting bagi usahawan kecil dan sederhana menjana pendapatan sepanjang bulan Ramadan, selain menyediakan kemudahan kepada orang ramai mendapatkan hidangan berbuka dalam suasana mesra keluarga.
Advertisement
Menurut AmBank, bazar berkenaan menampilkan pelbagai seleksi makanan termasuk kuih-muih tradisional, lauk-pauk kampung, sajian moden dan pilihan minuman segar yang menjadi tarikan utama pengunjung setiap tahun.
Bazar Ramadan anjuran AmBank itu berlangsung di enam lokasi berikut:
- Presint 14, Putrajaya
- Jalan Raja Uda, Kampong Bharu, Kuala Lumpur
- Jalan Raja Muda Musa Abdul Aziz, Kampung Bharu (HKL), Kuala Lumpur
- Datuk Keramat, Kuala Lumpur
- Bandar Baru UDA, Johor Bahru
- Bazar Kamunting, Taiping
Penganjuran ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan AmBank dalam memperkasa komuniti, merancakkan ekonomi setempat serta memperkukuh hubungan antara institusi kewangan dan masyarakat.
Selain menjadi destinasi pilihan membeli juadah berbuka, AmBank Bazar Ramadan turut berfungsi sebagai ruang interaksi sosial yang menyemai semangat kebersamaan dan silaturahim sepanjang bulan mulia ini.
Orang ramai dijemput hadir menyokong peniaga tempatan sambil menikmati pengalaman membeli-belah Ramadan bersama keluarga dan rakan.