Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu pengambilalihan Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah untuk menyembunyikan penyelewengan Datuk Seri Najib Razak ke atas bon pinjaman Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) berjumlah RM5 bilion yang dimohon TIA.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB dan TIA Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi mendedahkan perkara itu semasa membacakan penyataan saksinya setebal 270 muka surat pada hari ke-13 perbicaraan kes Najib melibatkan dana 1MDB.

"Berdasarkan apa yang saya tahu sekarang, saya yakin bahawa dasar pengambilalihan TIA kepada 1MDB secara as is where is basis ini adalah dirancangkan oleh Jho Low (Low Taek Jho) dengan restu daripada Datuk Seri Najib untuk menyembunyikan penyelewengan beliau semasa penerbitan bon IMTN RM5 bilion dengan Jaminan Kerajaan yang dibuat pada Mei 2009," jelasnya.

Shahrol Azral, 49, juga berkata Jho Low mengarahkannya menulis surat kepada Najib bagi memastikan 1MDB tidak perlu diaudit.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata Jho Low memintanya menulis surat 1MDB bertarikh 11 Dis 2009 kepada bekas perdana menteri itu atas alasan ia adalah permintaan Najib.

"Dalam surat ini, pihak 1MDB telah menyatakan berkenaan '1MDB: Updates Approvals' yang pihak TIA merujuk kepada keputusan dan kelulusan oleh Lembaga Penasihat (BOA) 1MDB yang bersetuju supaya hala tuju BOA mengenai proses pengambilalihan TIA kepada 1MDB.

Saksi penting itu berkata beliau tidak terlibat dalam perbincangan awal mengenai perkara itu tetapi percaya kandungan surat berkenaan telah dibincangkan terlebih dahulu oleh Jho Low dan Najib.

"Ini berdasarkan satu dokumen talking points (tajuk perbincangan) yang dihantar melalui e-mel oleh Jho Low kepada saya yang sudah tidak ada dalam simpanan saya lagi.

Katanya surat berkenaan turut dilampirkan kepada Tan Sri Ambrin Buang (Ketua Audit Negara), Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah (Ketua Setiausaha Perbendaharaan) dan Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin (Pengerusi Lembaga Pengarah).

Shahrol Azral juga mengesahkan beliau telah menerima surat 1MDB itu daripada Najib bertarikh 22 Dis 2009.

"Di dalam surat itu menyatakan Datuk Seri Najib mengambil maklum bahawa Lembaga Penasihat 1MDB bersetuju supaya pemersekutuan TIA seperti yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri kepada 1MDB dilakukan atas dasar 'as is where is' dan tiada keperluan bagi audit dan due diligence dilaksanakan oleh Ketua Audit Negara kerana pemindahmilikan saham telah pun sempurna.

"Datuk Seri Najib juga bersetuju dengan keputusan Lembaga Pengarah 1MDB iaitu 1MDB sebagai sebuah syarikat diperbadankan mengikut Akta Syarikat 1965 mesti diaudit oleh juruaudit profesional luar lantikan Lembaga Pengarah dan keperluan bagi Ketua Audit Negara mengaudit 1MDB tidak timbul sama sekali," katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

-- BERNAMA