Ambil dadah untuk mengelakkan daripada mengantuk ketika memandu lori.

Itu alasan diberikan pemandu sebuah lori muatan buah yang didapati memandu dibawah pengaruh dadah dalam Op Perdagangan.

Pemandu lori berusia 46 tahun bersama kelindannya antara sembilan lelaki yang ditahan selepas didapati positif dadah.

Operasi itu dilancarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman (JSPT) dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Dalam operasi tersebut pihak polis mengeluarkan 2,175 notis saman terhadap 1,917 pemilik kenderaan atas pelbagai kesalahan.




Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, kesemua kenderaan itu terdiri daripada 1,320 lori, 216 bas, 332 van, dan 49 teksi dengan sebanyak 1,773 kesalahan dicatatkan.

Menerusi operasi sama, sembilan lelaki ditahan selepas didapati positif dadah hasil ujian air kencing.

Kesemua tahanan itu berusia antara 19 hingga 46 tahun, dan dibawa ke ibu pejabat AADK untuk siasatan lanjut.

"Semasa operasi ini, kami juga dapat mengesan sembilan individu yang didapati positif dadah. Lapan daripada mereka melibatkan dadah jenis syabu manakala seorang lagi dadah jenis ganja," kata Mohd Nadzri.

Jelasnya lagi, kesalahan lain termasuk pandu melebihi had laju, penggunaan telefon bimbit, tiada lesen memandu dan tiada lesen kenderaan perdagangan (GDL).

Operasi bermula jam 10.30 malam dan berakhir jam 3 pagi Ahad.