KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menggunakan peluang kepercayaan rakyat yang semakin meningkat untuk memperbaiki tadbir urus dalam memastikan setiap maklumat dapat disampaikan dengan lebih cepat dan berkesan.

Felo Penyelidik Ilham Centre, Prof. Madya Dr Hamidin Abdul Hamid berkata, masalah utama kerajaan ketika ini, terutama dalam menangani COVID-19, adalah dalam mewujudkan dasar yang inklusif serta mengambil kira semua pihak.

Katanya, isu kompaun membabitkan selebriti dan marhaen yang tular baru-baru ini, menunjukkan adanya masalah dalam penyampaian penguatkuasaan SOP.

"Kerajaan harus telus dan mengamalkan sifat merangkumi atau inklusif, jalankn konsultasi dengan sebanyak mungkin badan dan organisasi berpengaruh serta mereka yang terlibat. Ini penting untuk memastikan setiap dasar mengambil kira kepentingan semua perkara dan pihak.

"Dalam situasi pandemik ini, ada dua perkara yang kita kerap bincangkan, iaitu ekonomi dan politik sedang masih banyak perkara lain yang perlu diambil kira seperti pendidikan, sosial, sukan dan sebagainya.

"Ini semua harus dirangkumkan untuk kerajaan berdepan dengan rakyat dan yakinkan mereka bahawa kerajaan ada kemampuan dan kepakaran untuk menangani pandemik," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, hari ini.

Tambahnya lagi, media juga perlu mengambil peranan untuk memastikan mereka menjadi suara kepada rakyat yang tidak mampu bersuara, sehingga membolehkan ia didengari pembuat dasar.

Pada Jumaat, media melaporkan Barometer Kepercayaan Edelman 2021 menunjukkan bahawa kepercayaan terhadap semua institusi di Malaysia, termasuk kerajaan, perniagaan, media, dan organisasi bukan kerajaan (NGO), telah meningkat susulan tindakan tegas sebagai tindak balas terhadap pandemik COVID-19.

Dalam satu kenyataan, Edelman menmaklumkan Malaysia memperoleh purata skor Indeks Kepercayaan sebanyak 66 mata, enam lebih tinggi daripada tahun lalu, dan naik dua tempat ke kedudukan ketujuh dalam kedudukan Indeks Kepercayaan Global.