KUALA LUMPUR: Harga subsidi petrol RON95 di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kekal pada paras RM1.99 seliter walaupun harga minyak mentah global kini melebihi USD100 setong sejak tercetusnya konflik di Asia Barat.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah berkenaan bagi melindungi isi rumah, manakala harga pasaran bahan api diselaraskan secara berperingkat selaras dengan kenaikan harga global sejak krisis tersebut bermula penghujung Februari lepas.
Advertisement
MOF memaklumkan walaupun harga bahan api domestik kekal dipengaruhi pergerakan harga antarabangsa, kerajaan memilih untuk tidak memindahkan sepenuhnya kenaikan harga tersebut kepada rakyat.
Kementerian itu memaklumkan kerajaan menanggung beban subsidi melebihi RM3 bilion sebulan, susulan langkah mengekalkan harga BUDI95 pada RM1.99 seliter untuk rakyat Malaysia dan harga diesel pada RM2.15 seliter untuk pengangkutan awam serta sektor pengangkutan barangan darat.
"Langkah pengekalan subsidi ini adalah untuk memastikan persediaan rakyat untuk menyambut Aidilfitri kekal lancar," menurut kenyataan itu.
Selaras dengan perubahan harga bahan api global di bawah Mekanisme Harga Automatik (APM), kementerian itu memaklumkan harga runcit bahan api bagi tempoh 19 hingga 25 Mac 2026 bagi RON97 dinaikkan kepada RM4.55 seliter (harga 18 Mac 2026, RM3.85 seliter).
Turut dinaikkan ialah harga diesel (Semenanjung Malaysia) kepada RM4.72 seliter (harga 18 Mac 2026, RM3.92 seliter), manakala RON95 tanpa subsidi serta diesel (Sabah, Sarawak dan Labuan) masing-masing kekal pada RM3.27 seliter dan RM2.15 seliter.
Menurut MOF peningkatan mutakhir harga minyak mentah global dan produk petroleum adalah susulan ketegangan geopolitik yang berterusan di Asia Barat, selain ketidakpastian bekalan yang terus menjejaskan pasaran tenaga dunia.
"Walaupun Malaysia negara pengeluar minyak, produk petroleum bagi kegunaan domestik masih diperoleh melalui pasaran global. Justeru, harga bahan api domestik kekal dipengaruhi oleh pergerakan harga antarabangsa," menurut MOF.
Pada masa sama, MOF memaklumkan lebih 400,000 kenderaan daripada sektor pengangkutan awam dan barangan darat seperti bas ekspres, teksi, lori dan treler barangan dan lain-lain, kekal dilindungi melalui skim subsidi bersasar, termasuk Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).
"Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah dan bertanggungjawab dalam mengurus harga bahan api domestik susulan ketidaktentuan berterusan dalam pasaran minyak global.
"Walaupun berhadapan kenaikan harga minyak global, harga bahan api di Malaysia kekal antara yang lebih rendah di rantau ini hasil langkah Kerajaan MADANI mengekalkan sebahagian subsidi bagi melindungi rakyat dan memastikan kestabilan ekonomi domestik," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA