Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menggesa kerajaan agar tidak hanya melihat kepada peratusan penggangguran, tetapi menumpukan kepada siapa yang masih belum mendapat pekerjaan.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan, melahirkan kebimbangan itu berikutan separuh daripada 400,000 orang yang menganggur adalah siswazah lepasan diploma dan ijazah.

"Jangan hanya lihat peratusan menganggur tapi cuba ambil tahu siapa yang direkodkan paling ramai mengganggur. Kira-kira 200,000 mereka yang menganggur adalah pemegang ijazah dan diploma.

"Ini amat membimbangkan kerana pada masa ini sektor swasta ketika ini tidak mengambil pekerja-pekerja baru dan kerajaan membekukan pekerja di sektor awam," katanya semasa dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Ujarnya, langkah sektor swasta yang meningkatkan umur persaraan menyebabkan kebanyakan syarikat tidak mengambil pekerja-pekerja baru.

"Kalau kita lihat sektor swasta telah meningkat umur bersara kepada 60 tahun dan graduan biasanya mengisi jawatan mereka yang sudah bersara.

''Namun, pada masa ini mereka akan bersara pada 2018, jadi graduan ini perlu menunggu tahun berkenaan untuk mula mengisi kekosongan," ujar beliau.

Selain itu, keadaan ekonomi negara ketika ini juga menyumbang kepada masalah pengganguran di kalangan siswazah.

"Kita tahu ekonomi kita pada masa ini tidak begitu menentu, bukan sahaja negara kita, tetapi juga negara-negara luar dan ini menyebabkan banyak sektor swasta melakukan pembuangan kerja serta membekukan pengambilan pekerja baru," tambahnya.

Justeru MEF mencadangkan agar kerajaan memberi insentif kepada majikan yang mengambil graduan yang menganggur dalam jangka masa yang lama.

"Kalau seorang majikan mengambil bekerja graduan baru yang telah habis belajar dua tahun lepas dan sekarang ini barulah mendapat kerja yang baru, jadi majikan itu harus diberikan insentif cukai. Itu akan memberangsangkan majikan untuk mengambil pekerja baru kalangan siswazah," kata Shamsuddin.


Bagaimanapun beliau menggesa semua siswazah agar lebih bersedia dan tidak terlalu memilih pekerjaan terutama dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem pada Selasa berkata, kadar pengangguran di negara ini belum dikategorikan sebagai membimbangkan memandangkan peratusannya masih rendah berbanding beberapa negara lain.

Kadar pengangguran ketika ini berada pada tahap 3.1 peratus atau 400,000 penganggur daripada 14.2 juta rakyat yang mempunyai pekerjaan tetap.