KUALA LUMPUR: Pelakon Amelia Henderson berjaya dalam rayuan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi mengetepikan keputusan yang memerintahkannya membayar RM200,000 kepada Syarikat A Aida Production Sdn Bhd berhubung isu pelanggaran kontrak sebuah drama, tahun lalu.

Ia selepas Pesuruhjaya Kehakiman, Leong Wai Hong membenarkan rayuan Amelia atau nama sebenarnya Amelia Thripura Henderson, 28, selaku pemohon.

Bagaimanapun, mahkamah menggantikan bayaran itu dengan memerintahkan pelakon popular berkenaan membayar ganti rugi nominal sebanyak RM10,000 dalam tempoh 14 hari.

Wai Hong berpandangan, pelakon berdarah kacukan India-Scotland itu perlu membayar faedah lima peratus setahun kepada produksi itu, bermula keputusan itu diputuskan.

"Rayuan Amelia dibenarkan dengan perintah Mahkamah Sesyen diketepikan maka syarikat produksi ini hanya layak mendapat ganti rugi nominal berkenaan untuk pelanggaran kontrak.

“Ia mengambil kira Amelia telah mendapat bayaran pendahuluan sebanyak RM3,920," kata pesuruhjaya kehakiman itu ketika menyampaikan keputusan secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom.

Ketika membaca keputusan penghakimannya, Pesuruhjaya Kehakiman itu berkata, menerusi penyata tuntutan, A Aida Production selaku responden mendakwa Amelia telah memfitnahnya di Instagram pada 25 Jun 2022.

Katanya, mahkamah berpendapat pihak produksi itu gagal membuktikan pernyataan berkenaan memfitnah dan secara jelas merujuk kepada responden.


“Saya berharap semua pihak mengambil iktibar daripada perkara ini, seorang artis berhak mengambil berat mengenai imejnya, namun tidak boleh menarik diri di saat akhir.

“Bukan sahaja ini tidak adil kepada syarikat produksi dan pengarah malah ia juga akan menjejaskan 'periuk nasi' seluruh kru.

“Mungkin ada sebahagian daripada mereka memerlukan penggambaran untuk meneruskan kehidupan, ibarat peribahasa ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’,” katanya.

Produksi berkenaan bernasib baik kerana menemui pengganti dalam tempoh 24 jam sekali gus menyelamatkan semua pihak.

Dalam prosiding itu, Amelia diwakili peguam, Mansheel Kaur dan Wan Nurliyana Abdul Rahman manakala peguam, Ashmadi Othman Bushro Anuar serta Lukman Haqeem mewakili syarikat produksi itu.

Sebelum ini, Amelia memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkannya membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi itu pada 18 April lalu.

Hakim, Zulqarnain Hassan memutuskan demikian selepas membenarkan tuntutan saman yang difailkan syarikat produksi itu selaku plaintif terhadap saman yang dikemukakan kepada Amelia selaku defendan.

Dalam penghakimannya ketika itu hakim tersebut berkata, mahkamah mendapati Amelia telah diikat dengan kontrak yang ditandatangani dalam drama Sekali Lagi Cinta Kembali.

Penghakiman mahkamah juga mendapati Amelia sendiri bersetuju membintangi drama itu selain turut bersetuju watak yang ditawarkan iaitu Aira yang mana Amelia adalah heroin dalam drama tersebut.

Justeru, mahkamah memerintahkan Amelia membayar ganti rugi am selain faedah lima peratus kepada plaintif yang kesemuanya berjumlah lebih RM200,000.

Sebelum ini media melaporkan Amelia dan pelakon Idris Khan berdepan dengan tindakan saman daripada A. Aida kerana didakwa melanggar kontrak perjanjian sebuah drama seperti yang sudah ditandatangani sebelum ini.

Bagaimanapun, saman melibatkan A.Aida dan Idris Khan berakhir dengan baik apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah sementara Amelia memilih untuk melawan kes saman itu.

Bagaimanapun pada Ogos lalu, Amelia berjaya dalam permohonannya untuk menangguhkan permohonan maaf dan bayaran ganti rugi lebih RM200,000 terhadap syarikat produksi ini. - Sinar Harian