Angkatan Muda KEADILAN (AMK) kecewa dengan tindakan polis menyiasat Pengarah Pusat Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW), Akmal Nasir kerana memperoleh dokumen Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YaPEIM) secara tidak sah.

Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, adalah tidak wajar polis menyiasat Akmal kerana mendedahkan maklumat menerusi dokumen yang diperolehinya.

"Di dalam kes YaPEIM ini, kesemua maklumat yang didedahkan telah disahkan ketulenannya oleh pihak YaPEIM. Jadi mengapa perlu menyiasat perolehan dokumen tersebut?

"Rakyat berhak untuk mengetahui mengenai perkara itu," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik ke blognya, hari ini.

Beliau berharap, pihak berkuasa akan melindungi pendedah maklumat, bukannya menyiasat mereka.

BACA: Dakwa menteri guna duit zakat, YaPEIM buat laporan polis

BACA: Jamil Khir fail saman terhadap Akmal Nasir, mahu bersihkan nama

Semalam, The Malaysian Insider memetik Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebagai berkata, polis sudah memulakan siasatan terhadap badan bukan kerajaan (NGO), NOW atas kesalahan mendapatkan dokumen YaPEIM secara tidak sah.

Khalid berkata ianya susulan laporan polis yang dibuat Ketua Pengarah Eksekutif YaPEIM Datuk Abibullah Samsudin Rabu lalu.

"Benar kita sudah memulakan siasatan. Atas salah guna atau kes menyalahgunakan kuasa dan ia di bawah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," kata Khalid.

Khalid dipetik sebagai berkata, setakat ini tidak ada penangkapan yang dibuat kerana siasatan masih di peringkat awal.

Dalam laporan polis itu, Abibullah berkata tuduhan NOW ke atas YaPEIM tidak berasas dan dokumen diperolehi kumpulan itu secara tidak sah.

Beliau mendakwa Akmal telah menyebarkan maklumat dan fakta yang salah serta dengan niat memfitnah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.