MALAYSIA
AMM-58: Menteri-Menteri Luar ASEAN gariskan sembilan isu utama dalam kenyataan bersama

ASEAN menyeru penyelesaian damai bagi konflik di Laut China Selatan, Asia Barat dan Myanmar. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Menteri-Menteri Luar ASEAN menekankan sembilan isu di bawah enam tunjang utama dalam mesyuarat mereka yang berlangsung pada 9 Julai lalu.
Ringkasan AI
- Menteri-Menteri Luar ASEAN menumpukan kepada pembinaan komuniti, politik-keselamatan, ekonomi, sosio-budaya, hubungan luar dan isu serantau, termasuk integrasi Timor-Leste sebagai anggota penuh menjelang Sidang Kemuncak ke-47.
- ASEAN menyeru penyelesaian damai bagi konflik di Laut China Selatan, Asia Barat dan Myanmar, serta menekankan kepentingan UNCLOS 1982 dan Deklarasi Kod Tatalaku (DOC) 2002.
- Mesyuarat ini menghimpunkan menteri luar ASEAN dan rakan dialog seperti AS, China, Rusia dan Korea Selatan untuk memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang di bawah tema "Inklusiviti dan Kelestarian".
“Kami mengiktiraf kemajuan ketara yang dicapai dalam memperdalam integrasi serantau, mengukuhkan perpaduan dan Kepusatan ASEAN, serta memupuk komuniti yang stabil, makmur dan berpaksikan rakyat melalui pelaksanaan Wawasan Komuniti ASEAN 2025 secara penuh dan efektif,” katanya.
Kenyataan tersebut turut mengulangi komitmen Menteri-Menteri Luar ASEAN untuk melaksanakan persetujuan yang dicapai pada Sidang Kemuncak pada Mei lalu, untuk menerima Timor Leste sebagai anggota penuh.
“Kami menggalakkan Timor-Leste untuk terus menambah baik kapasiti institusinya dan terus berdialog dengan semua Badan Sektoral ASEAN untuk melaksanakan kewajipannya sebagai anggota ASEAN.
“Kami turut menggalakkan usaha berterusan oleh Timor-Leste untuk menyelaraskan dasar, proses dan rangka kerja domestiknya dengan perjanjian dan rangka kerja ASEAN, bagu menggalakkan proses integrasi yang lancar dan berkesan,” katanya.
Turut disentuh adalah isu ketegangan di Asia Barat, Myanmar dan Laut China Selatan.
“Kami menekankan keperluan mencari penyelesaian damai kepada pertikaian mengikut undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara universal, termasuk UNCLOS 1982.
“Kami menekankan kepentingan mengelak langkah ketenteraan serta disiplin semua pihak dalam menjalankan semua aktiviti, termasuk yang disebut di dalam Deklarasi Kod Tatalaku Laut China Selatan (DOC) 2002, yang boleh merumitkan lagi keadaan dan meningkatkan ketegangan di Laut China Selatan,” katanya.
Mengenai konflik di Asia Barat, ASEAN turut mengecam serangan Israel terhadap orang awam serta langkahnya untuk terus menyekat bantuan kemanusiaan.
“Kami mengulangi sokongan kami terhadap hak rakyat Palestin yang tidak boleh dipisahkan, termasuk hak mereka untuk menentukan nasib sendiri, dan hak mereka terhadap tanah air sendiri,” katanya.
Pada masa yang sama, ASEAN turut mengulangi sokongannya terhadap usaha mencapai keamanan dan menegakkan kedaulatan undang-undang di Myanmar.
“Kami menekankan kepentingan, serta mengulangi sokongan kami terhadap komitmen Myanmar untuk memastikan keselamatan untuk semua komuniti di Rakhine dengan sebaik mungkin, serta (usaha kerajaan) untuk memudahkan pemulangan orang yang terjejas dengan cara yang selamat, dijamin dan bermaruah,” katanya.
AMM-58 yang berlangsung dari 7 hingga 11 Julai 2025 menghimpunkan Menteri-Menteri Luar ASEAN bersama rakan dialog utama termasuk Amerika Syarikat, Rusia, China, Turkiye dan Korea Selatan.
Ia bertujuan membincangkan isu serantau dan kerjasama antarabangsa merentasi pelbagai bidang termasuk ekonomi, keselamatan, pembangunan dan hubungan rakyat-ke-rakyat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami