MALAYSIA
AMM ke-58: ASEAN kekalkan keseimbangan strategik melalui penglibatan China dan AS

Wang Y yang mengetuai delegasi China mengesahkan semula hubungan ekonomi negara itu dengan ASEAN. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: ASEAN mengekalkan keseimbangan strategiknya dalam mengemudi hubungan di peringkat global apabila mengambil langkah bijak dengan melibatkan China, Amerika Syarikat serta kuasa besar lain dalam siri perbincangan peringkat tinggi pada hari ketiga Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung, di sini, pada Khamis.
Jadual padat sesi libat urus berkenaan bermula dengan Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar ASEAN (PMC) bersama China disusuli PMC yang berlangsung secara berturut-turut dengan Australia, Kanada, India dan New Zealand.
Kesemua sesi menjadi platform untuk meningkatkan kerjasama serantau mengikut keutamaan seperti perdagangan, keterhubungan dan keselamatan.
Menteri Luar China, Wang Y, yang mengetuai delegasinya, mengesahkan semula hubungan ekonomi negara itu dengan ASEAN manakala Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan pula mengumumkan bahawa Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0 yang telah dipertingkat dijangka dimeterai pada akhir tahun ini."Dalam konteks ini, pemeteraian perjanjian ini yang dijadual pada akhir tahun amat bertepatan pada masanya," kata Mohamad sambil menekankan terdapat keperluan mendesak bagi meningkatkan daya tahan perdagangan dalam persekitaran global yang tidak menentu ketika ini.
ACFTA, yang dimeterai pada 2010, merangkumi pasaran gabungan lebih dua bilion penduduk dan pada 2024, jumlah perdagangan ASEAN-China mencecah US$770.94 bilion, meningkat 10.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.
ASEAN mahu semua pihak yang terlibat dalam isu Laut China Selatan agar menguruskan situasi di laluan perairan strategik itu dengan "bijaksana dan berhemah" bagi memastikan ketegangan geopolitik tidak semakin meningkat.
Mohamad turut menyeru semua pihak yang terlibat dalam isu Laut China Selatan agar menguruskan situasi di laluan perairan strategik itu dengan "bijaksana dan berhemah" selain mengalu-alukan kesediaan China untuk menjadi Negara Kuasa Nuklear pertama yang menandatangani dan meratifikasi Protokol Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) tanpa sebarang syarat.
Sementara itu, menjawab pertanyaan media, Wang memaklumkan, Beijing menentang tarif yang tidak berasas, merujuk kepada langkah terbaru Washington.
Pada sebelah petang, para Menteri Luar ASEAN mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Negara AS yang baharu dilantik, Marco Rubio, sempena lawatan rasmi pertama beliau ke Asia.
Rubio berkata, beliau bangga kerana dapat memulakan libat urus serantau di Malaysia dan menyifatkan AMM sebagai acara penting yang memberi kesan melangkaui ASEAN.
Beliau turut mendedahkan bahawa AS sedang menggerakkan usaha diplomatik bagi membolehkan Presiden Donald Trump menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Oktober ini.
"Kami sedang berusaha menetapkan tarikh untuk perkara itu, sudah tentu," katanya.
Rubio berkata, pentadbiran AS melihat ASEAN sebagai rakan utama dalam usaha mengekalkan keamanan dan kemakmuran serantau.
Pada masa sama, beliau mengesahkan bahawa AS terus meneroka jalan ke arah keamanan di Ukraine melalui penglibatan yang membina dengan Rusia.
Beliau menyifatkan pertemuannya dengan Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov sebagai "produktif, membina dan jujur".
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia masih mempunyai tempoh untuk berunding dengan AS mengenai tarif timbal balik baharu yang diumumkan Trump.
"Rubio turut mengiktiraf Malaysia sebagai rakan dagang utama Amerika Syarikat di rantau ini dan akan mempertimbangkan maklum balas daripada Malaysia," kata beliau kepada pemberita selepas menerima kunjungan Setiausaha Negara AS itu di Parlimen.
Trump pada Isnin telah mengenakan kadar tarif baharu antara 25 hingga 40 peratus ke atas 14 negara dan mengeluarkan satu perintah eksekutif bagi melanjutkan tarikh kuat kuasa tarif timbal balik kepada 1 Ogos.
Presiden AS itu menerusi platform Truth Social mengumumkan kadar tarif sebanyak 25 peratus akan dikenakan ke atas import dari Jepun dan Korea Selatan bermula 1 Ogos, dengan notis sama turut dihantar kepada Malaysia dan 11 negara lagi.
Momentum hari ini diteruskan dengan sesi PMC bersama Jepun, Rusia, Korea Selatan dan AS sekali gus mengukuhkan komitmen ASEAN terhadap keterlibatan yang seimbang dan inklusif bersama semua rakan dialog.
Malaysia juga mengadakan mesyuarat tiga hala bersama Switzerland dan ASEAN Sekretariat manakala Mesyuarat Menteri-Menteri Kerjasama Mekong-Jepun ke-16 menghimpunkan menteri-menteri dari Asia Tenggara dan Jepun bagi menilai kemajuan pembangunan di wilayah Mekong.
Selepas sesi diplomatik yang padat sepanjang hari ini, Mohamad dan isteri, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin menganjurkan majlis makan malam bagi meraikan Menteri-Menteri Luar bersama pasangan masing-masing dengan menampilkan diplomasi budaya serta semangat mesra dalam kalangan delegasi.
AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan tema 'Keterangkuman dan Kemampanan'.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami